Gobind: Setiausaha akhbar PM silap, isu status DAP sudah selesai

gobind-dap-3

PETALING JAYA: Pengerusi Biro Undang-Undang DAP berkata, setiausaha akhbar perdana menteri silap dalam membayangkan pendaftaran parti itu berdepan risiko kerana tidak pasti sama ada logo roketnya boleh digunakan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Gobind Singh Deo berkata, Datuk Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad mendapat fakta salah kerana perkara itu sudah diselesaikan di mahkamah pada 2014.

“Kami tidak akan tertipu dengan setiausaha akhbar perdana menteri. Siapakah dia untuk bercakap bagi pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM)?

“Beliau sepatutnya menerima nasihat peguam mewakili JPPM dalam tuntutan difailkan DAP terhadapnya pada 2014,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Gobind berkata, ketika itu, JPPM melalui peguamnya mengakui apa yang dinyatakan dalam surat kepada DAP sekadar nasihat dan tidak sah untuk dilaksanakan ke atas parti itu.

Beliau berkata, JPPM mengakui Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP (CEC) yang dipilih pada 29 September 2013, boleh melaksanakan semua kuasa, fungsi dan tugasnya mengikut perlembagaan parti itu.

“CEC bertindak sewajarnya sehingga sekarang. Ia mentadbir parti itu sejak 4 tahun lalu tanpa sebarang arahan daripada JPPM.

“Oleh itu, saya menasihatkan setiausaha akhbar itu lebih berhati-hati.

“Beliau tidak sepatutnya membuat pengumuman bagi pihak atau berkaitan RoS yang bertentangan konsesi dipersetujui. Beliau tiada hak berbuat demikian.”

Pada 17 April 2013, 3 minggu sebelum pilihan raya umum ke-13 (PRU13) pada 5 Mei, JPPM menghantar sepucuk surat kepada DAP menyatakan CEC baharu parti itu tidak diiktiraf disebabkan pertikaian berhubung pemilihan parti.

Bagaimanapun, JPPM mengeluarkan sepucuk lagi surat pada 19 April memaklumkan parti itu dibenar menggunakan logo roketnya pada PRU.

Pada 22 Januari 2014, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi pihak parti itu dengan menyatakan JPPM tiada kuasa di bawah Akta Pertubuhan 1966 untuk menafikan pengiktirafan CEC yang dipilih semula pada 29 September 2013.

DAP menarik balik permohonan itu pada 23 September 2014, susulan pengiktirafan JPPM terhadap CEC dipilih semula itu dan pendiriannya yang kenyataan berhubung perkara itu sekadar nasihat dan tidak sah.

Semalam, Tengku Sariffudin menasihatkan Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong memberi tumpuan membetulkan kepincangan dalam parti itu, bukannya menjaja berita palsu untuk memburuk-burukkan dan menyebarkan pembohongan mengenai kerajaan.

Beliau berkata, Liew pada hakikatnya perlu lebih prihatin terhadap masalah serius dihadapi partinya kerana DAP tidak pasti sama ada ia akan dibenar menggunakan logo roket pada PRU14 kerana CEC parti itu tidak diiktiraf JPPM.

“Ini kerana pemilihan parti DAP dikatakan dijalankan secara tidak demokratik dengan didalangi ‘Penang Official 1’ dan bapanya mengekalkan pemerintahan diktator selama setengah abad ke atas DAP.

“Ini bermakna setiausaha agung DAP, Penang Official 1, tidak mempunyai kuasa untuk memberi apa-apa arahan dalam parti kerana beliau tidak diiktiraf secara sah.

“Malah, seluruh kepimpinan DAP terancam dan boleh diisytiharkan haram kerana didakwa melakukan manipulasi dalam pemilihan parti,” katanya.

Betulkan kepincangan dalam parti, pegawai Najib nasihat DAP

DAP: Terbukti Najib akan lakukan apa saja demi kekal kuasa

Saya diktator? Tahniah Najib ada ‘genius’, sindir Kit Siang