Guru perlu lapor polis jika dibuli pelajar, pesan Mahdzir

Mahdzir-Khalid-buli-guruALOR SETAR: Guru yang turut menjadi mangsa buli pelajar diminta membuat laporan polis bagi menjamin keselamatan diri, sekali gus mengelakkan kejadian tidak diingini menimpa mereka.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sememangnya terdapat beberapa kes melibatkan guru menjadi mangsa buli, namun ia tidak dilaporkan kerana bimbang dengan keselamatan diri apabila berada di luar kawasan sekolah.

“Ada guru yang tidak mahu buat laporan kerana tidak mahu memanjangkan cerita, selain turut bimbang dengan keselamatan diri akan diancam pelajar terlibat dalam gangsterisme.

“Guru perlu buat laporan bagi membolehkan tindakan diambil terhadap pembuli dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sama sekali tidak akan menghalang, sekiranya mereka ingin membuat laporan polis,” katanya selepas melawat Kolej Vokasional Alor Setar hari ini.

Beliau berkata, guru yang menjadi mangsa buli tidak perlu bersembunyi atau bimbang dengan reputasi sekolah, sekiranya hendak membuat laporan polis kerana kementerian berpendirian tegas dalam menangani masalah itu, selain mementingkan keselamatan guru terbabit.

Semalam, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendedahkan kalangan guru turut menjadi mangsa buli pelajar bermasalah di sekolah, sekali gus menyumbang kepada peningkatan budaya gangsterisme di negara ini.

Presiden CAP, S M Mohamed Idris berkata, kejadian buli terhadap guru boleh berlaku dalam pelbagai bentuk, termasuk peras ugut dan kenderaan dirosakkan selepas mereka menegur pelajar bermasalah disiplin.

Dalam pada itu, Mahdzir berkata, pihaknya sedia bekerjasama dengan ibu bapa yang mahu menghantar anak terlibat dalam kegiatan gangsterisme atau buli ke mana-mana pusat pemulihan.

“Saya ingin tegaskan kita (KPM) tidak akan berkompromi dengan pelajar terlibat dalam aktiviti gangsterisme atau buli dan mereka boleh dikenakan tindakan tegas sekiranya didapati bersalah,” katanya.