Tutup kes hasutan tunjukkan saya di pihak benar, kata Jufazli

Jufazli-Shi-Ahmad_law

PETALING JAYA: Aktivis Jufazli Shi Ahmad berkata keputusan ketua pendakwa raya negeri menutup kes berkaitan dakwaannya terhadap salahlaku dan rasuah dalam kerajaan Sabah menunjukkan beliau di pihak yang benar.

Menurut Jufazli, penutupan kes itu dimaklumkan kepadanya selepas menghubungi polis hari ini.

“Mereka memaklumkan ketua pendakwaraya negeri memutuskan secara rasmi kes saya yang dibuka di bawah kesalahan Akta Hasutan pada 9 November 2016 lepas ‘telah ditutup’,” kata Jufazli dalam kenyataan hari ini.

“Pihak pendakwaan membebaskan saya sepenuhnya dan tiada pendakwaan mahkamah daripada pertuduhan menghasut rakyat melawan kerajaan kerana tiada unsur-unsur jenayah menghasut.”

Sebelum ini, Jufazli pernah disiasat kerana disyaki melanggar Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multmedia 1998.

Beliau juga pernah ditahan pada 9 November 2016 dan disiasat kerana memfitnah, menghasut dan melakukan kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Aktivis dari Semporna itu lantang mengkritik kerajaan Sabah, terutamanya dalam skandal berkaitan jabatan air negeri.

“Akhirnya Allah tunjukkan ini bukan fitnah dan saya di pihak benar. Terima kasih kepada 6 orang Peguam saya yang membantu saya melawan Musa dan kerajaan UMNO-BN di Sabah,” kata Jufazli hari ini.

Awal Ramadhan lalu, Jufazli mengumumkan menyertai DAP sebagai ahli seumur hidup dalam usahanya untuk menewaskan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan Barisan Nasional.

Disember tahun lalu, Jufazli menyatakan hasrat untuk bertanding di kerusi Musa Aman, Sungai Sibuga.

Musa memenangi Sungai Sibuga dengan majoriti 11,569 undi dalam pertandingan 5 penjuru pada pilihan raya 2013. Beliau tidak pernah tewas di kerusi itu sejak mula bertanding di situ pada 1999.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/06/07/aktivis-sabah-jufazli-dibebaskan-dengan-jaminan-polis/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/11/11/polis-enggan-bebas-jufazli-bakal-dihantar-ke-sabah/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/06/05/aktivis-jufazli-sertai-dap-untuk-selamatkan-sabah/