Kementerian setuju polis kendali kes buli di sekolah

Mahdzir-Khalid_buli_sekolah_600

KUALA NERANG: Kementerian pendidikan bersetuju menyerahkan kes buli yang berlaku di sekolah diurus dan dikendalikan polis berbanding pihak sekolah seperti sebelum ini.

Menteri Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata beliau turut menyokong kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengenai langkah berkenaan bagi mengekang kegiatan buli yang semakin menjadi-jadi dan dilihat berunsur jenayah.

“Saya terima kerana ada kes melibatkan elemen-elemen jenayah yang perlu dikendalikan oleh pihak polis dan saya sokong kenyataan itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis Pelancaran Menarik Di Padang Terap #Agropreuner dan Jamuan Aidilfitri di Pusat Informasi Pelancongan daerah Padang Terap hari ini.

Dalam pada itu, beliau menyarankan pihak pentadbiran sekolah melaporkan segera kepada polis jika kejadian buli pelajar berlaku di sekolah.

“Pihak sekolah tidak boleh menyembunyikan sesuatu kes jika melibatkan jenayah dan perkara ini mestilah diserahkan kepada pihak polis untuk diambil tindakan segera,” katanya.