165 syarikat hadir taklimat industri projek kereta api KL-Singapura

hsr-briefing

SINGAPURA: Taklimat industri bagi projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang diadakan hari ini menarik minat 165 syarikat tempatan dan antarabangsa.

Ia dijalankan secara bersama oleh MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR), Malaysia dan Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura.

Peserta terdiri daripada keseluruhan rantaian nilai HSR, termasuk pembekal dan penyepadu gerabak serta sistem, pengendali rangkaian, perunding kejuruteraan dan undang-undang, pembiaya serta pelabur, pengendali dan syarikat pembinaan.

Perkembangan terkini kemajuan projek HSR KL-Singapura dimaklumkan kepada peserta semasa taklimat itu, termasuk petunjuk parameter tender, proses pemerolehan dan pengharmonian keperluan kawal selia untuk tender syarikat aset.

Ia juga platform untuk menggalakkan minat syarikat dalam membentuk sebuah konsortium bagi menyertai tender syarikat aset.

Ketua Eksekutif LTA, Ngien Hoon Ping berkata, kedua-dua pihak gembira dengan minat ditunjukkan syarikat dari seluruh dunia terhadap taklimat industri tersebut.

“Kami gembira dengan minat memberangsangkan daripada syarikat di seluruh dunia bagi taklimat industri ini dan mengambil peluang bagi mengesahkan semula komitmen kedua-dua kerajaan dalam menjayakan projek ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, susulan taklimat industri itu, tender syarikat aset akan ditawarkan pada akhir tahun ini.

“Kami bersedia untuk menerima bidaan berkualiti daripada pelbagai konsortium,” katanya.

Syarikat aset bertanggungjawab mereka bentuk, membina, membiayai dan menyelenggara semua gerabak, serta mereka bentuk, membina, membiayai, mengendali dan menyelenggara semua aset kereta api seperti kerja landasan, kuasa, pengisyaratan dan telekomunikasi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MyHSR, Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal berkata, HSR KL-Singapura merupakan projek insfrastruktur pengangkutan mega bagi kedua-dua negara.

“Oleh itu, penting untuk kami meneroka semua peluang inovasi bagi memastikan ia dilaksanakan paling cekap.

“Projek itu akan dilaksanakan mengikut fasa. Fasa semasa tertumpu kepada tender syarikat aset. Tender lain seperti syarikat kerja awam dan operasi akan dijalankan mengikut jadual projek dan pengumuman akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya.

Syarikat aset juga akan menetap dan melaksanakan Kod Rangkaian untuk menyelaras kapasiti rangkaian sistem itu bagi keperluan pengoperasian serta penyelenggaraan.

Tender syarikat aset akan mengutamakan keselamatan dan jaminan, kebolehsediaan serta kebolehpercayaan, teknologi yang terbukti, kefleksibelan operasi, reka bentuk berorientasikan pelanggan, dan kerjasama pelaksanaan projek seperti objektif pemerolehan.

Susulan taklimat itu, mesyuarat selanjutnya dijadualkan dengan peserta akan menyertai perbincangan dan mendapatkan maklum balas mengenai topik taklimat.

Maklum balas yang diterima akan berkaitan ketetapan pelan pemerolehan dan spesifikasi tender dilaksanakan.

HSR KL-Singapura merupakan projek strategik antara kerajaan Malaysia dan Singapura bertujuan melancarkan perjalanan antara kedua-dua negara, mempertingkatkan hubungan perniagaan dan mendekatkan rakyat 2 negara jiran itu.

Kedua-dua negara memeterai Perjanjian Dua Hala pada 13 Disember 2016 yang menetapkan perkara utama persetujuan bagi projek itu, termasuk parameter teknikal; model komersial; pemeriksaan kastam, imigresen dan kuarantin; aspek keselamatan dan jaminan, struktur kawal selia serta pendekatan pengurusan projek.

HSR KL-Singapura akan merangkumi 8 stesen iaitu Bandar Malaysia, Putrajaya, Seremban, (Ayer Keroh) Melaka serta Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri (Johor) di Malaysia dan stesen Jurong East di Singapura.

Ia adalah laluan kereta api sepanjang 350km yang menghubungkan 2 bandar raya tersebut dalam tempoh 90 minit dengan perkhidmatan berkelajuan tinggi itu disasar mula beroperasi pada 31 Disember 2026.

Laporan: Malaysia berpihak Jepun dalam projek kereta api KL-Singapura?

6 syarikat Singapura kerjasama bida projek kereta api laju