‘Hotel’ RM1 – cara terbaru aktivis bantu orang miskin

Kuan-Chee-Heng-rm1-3

PUCHONG: Aktivis sosial, Kuan Chee Heng kembali dengan idea terbaru membantu golongan miskin.

Kali ini, beliau melancarkan sebuah “hotel” dengan bayaran RM1 untuk sebuah katil setiap malam.

Katanya, “hotel” itu dibuka khas kepada golongan miskin yang datang dari jauh untuk melawat saudara sakit di hospital.

“Di rumah seringgit ini, mereka boleh menumpang ikut keperluan mereka.

“Kita juga menyediakan pengangkutan untuk mereka…pengangkutan boleh bawa mereka ke hospital 10 sen dan balik 10 sen. Kita memang ada 2 van Avanza standby untuk mereka,” katanya selepas melancarkan rumah transit RM1 di Taman Puchong Perdana hari ini.

Rumah 4 bilik itu dilengkapi katil 2 tingkat serta tilam tambahan di lantai.

Kuan berkata, “hotel” itu turut mengalu-alukan mangsa kebakaran, keganasan rumah tangga dan warga emas sesat yang meninggalkan rumah mereka atas pelbagai sebab.

Bagaimanapun, semua penginap perlu menjaga kebersihan dan tidak dibenarkan membawa makanan tidak halal ke “hotel” itu demi menjaga sensitiviti kaum lain.

Kuan ialah pengasas dan presiden Persatuan Kepolisan Komuniti Malaysia – sebuah kumpulan yang ditubuhkan beliau beberapa tahun lalu untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Beliau tidak asing dalam menghulurkan bantuan kepada golongan miskin dengan hanya sedikit bayaran.

Awal tahun ini, beliau melancarkan perkhidmatan ambulans dan perpustakaan 10 sen.

Perkhidmatan ambulans itu diwujudkan khas bagi orang miskin sakit yang tidak mampu mendapatkan perkhidmatan swasta ke hospital, manakala perpustakaan itu dikhaskan kepada kanak-kanak.

Mengenai harapan “tetamu” di rumah transit itu, Kuan berharap mereka dapat membantu orang lain seperti dilakukannya.

“Saya tidak mahu apa-apa balasan daripada orang yang saya bantu, kecuali mereka meneruskan amalan baik ini demi Malaysia yang lebih baik.”

Ahli perniagaan itu berkata, mereka yang memerlukan bantuannya boleh menghubungi beliau melalui Facebook atau pertubuhan sosial yang beroperasi di hospital.

https://www.youtube.com/watch?v=1QxGNtosM4M