KWSP benar pencarum guna Akaun 2 selesai baki pinjaman pendidikan

kwsp-pendidikan

KUALA LUMPUR: Berkuat kuasa 21 Julai ini, lebih 70,000 pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh menggunakan simpanan Akaun 2 bagi menyelesaikan baki pinjaman pendidikan, tanpa mengira tarikh kuat kuasa perjanjian pinjaman pendidikan masing-masing.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) KWSP, Datuk Mohd Naim Daruwish berkata, penambahbaikan di bawah Skim Pengeluaran Pendidikan itu akan menggantikan syarat semasa pengeluaran sebelum ini.

“Penambahbaikan ke atas polisi ini dilakukan setelah mengambil kira maklum balas ahli yang mengalami kesukaran untuk mengurangkan atau menyelesaikan baki pinjaman pendidikan menggunakan simpanan KWSP mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, syarat semasa untuk menyelesaikan baki pinjaman pembiayaan pengajian anak ahli di peringkat ijazah dan ke atas, serta yang setara dengannya terhad bagi perjanjian pinjaman berkuat kuasa 1 April 2000 dan bagi menyelesaikan pembiayaan pengajian ahli di peringkat diploma dan ke atas, serta yang setara dengannya terhad bagi perjanjian pinjaman berkuat kuasa 2 Januari 2001.

Sementara itu, syarat bagi menyelesaikan pembiayaan pengajian ahli dan anak ahli di peringkat diploma dan ke atas, serta yang setara dengannya terhad bagi pinjaman berkuat kuasa pada 17 Januari 2006.

Selain penambahbaikan tersebut, berkuat kuasa serta-merta, ahli KWSP juga boleh mengemukakan borang permohonan pengeluaran 9B (AHL) untuk pengeluaran umur 50 tahun, atau pengeluaran penuh/sebahagian umur 55 tahun dan 60 tahun sebulan sebelum tarikh lahir masing-masing berbanding 6 bulan sebelumnya.

“Sebelum membuat sebarang pengeluaran, kami menggalakkan ahli mendapatkan nasihat percuma di kaunter khidmat nasihat persaraan di mana-mana 18 cawangan seluruh Malaysia berkenaan jenis pengeluaran terbaik mengikut kehendak mereka,” katanya.

Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai perubahan polisi pengeluaran boleh menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di talian 03-89226000 atau layari laman web KWSP di www.kwsp.gov.my atau berkunjung ke mana-mana cawangan KWSP di seluruh negara.