Menteri: Rabies mungkin disebar anjing liar dari Kalimantan

subramaniam-dogs

PUTRAJAYA: Tiada kes baharu penyakit anjing gila atau rabies yang dilaporkan, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam.

Dalam sidang media di kementeriannya hari ini, Dr Subramaniam berkata, kes gigitan anjing itu disyaki berpunca daripada penularan wabak rabies yang aktif di Kalimantan yang bersempadan dengan Serian.

“Saya diberitahu mungkin anjing liar yang dijangkiti virus di Kalimantan melintas sempadan dan datang ke kawasan Serian. Ini boleh jadi punca kepada kes-kes di Sarawak. Saya difahamkan ia adalah penularan wabak yang serius di Kalimantan.

“Kalau mengikut sejarah, Malaysia pernah alami kejadian rabies sebelum ini di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang kerana ada anjing dari Thailand memasuki sempadan kita. Jadi, kita berpendapat mungkin cara sama penyakit anjing gila itu merebak di Serian kerana bersempadan dengan Kalimantan,” katanya.

Sehingga semalam, katanya, 68 kes gigitan anjing dikesan di kawasan wabak daerah Serian, Sarawak dan rawatan, vaksin serta aktiviti pendidikan kesihatan berkaitan rabies turut diberikan kepada penduduk kampung.

Katanya, 11 pasukan kesihatan daripada Pejabat Kesihatan Serian bersama Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak melaksanakan “Pengesanan Kes Aktif (ACD)” bagi mengesan kes gigitan anjing di 19 kampung di Serian, melibatkan 2,098 pintu rumah dan 6,094 orang ditemu duga bagi sejarah gigitan anjing.

Semalam, 2 daripada 3 kanak-kanak yang dijangkiti rabies di Sarawak meninggal dunia selepas mengalami kematian otak dan ibu bapa mereka bersetuju bantuan pernafasan dihentikan. Seorang lagi kanak-kanak berusia 7 tahun yang masih dirawat di Hospital Umum Sarawak, dalam keadaan kritikal.

Dalam pada itu, Dr Subramaniam memberi jaminan bekalan vaksin, termasuk vaksin immunoglobulin dari Singapura untuk manusia dan anjing mencukupi.

Menurutnya, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak membuat keputusan untuk memberi vaksin kepada semua anjing, dengan keutamaan pertama anjing peliharaan yang ada sentuhan dengan manusia dan kemudian anjing liar di seluruh kawasan itu selepas menjalankan satu kajian terperinci.

2 kanak-kanak dijangkiti rabies meninggal dunia