Ahli akademik cadang cara seronok, praktikal ajar agama di sekolah

Tajuddin-Rasdi--sekolahPETALING JAYA: Seorang pengkritik pendidikan negara memberi beberapa cadangan mengenai cara mengajar subjek agama di sekolah.

Selepas menyuarakan kekecewaan secara berterusan terhadap pelan pendidikan lalu, pensyarah di Universiti USCI, Dr Tajuddin Rasdi merangka pelan sendiri yang beliau percaya patut dilaksanakan di negara ini.

Dalam draf itu, beliau antara lain menggariskan cara pengajaran subjek agama kepada pelajar darjah 1 hingga tingkatan 5.

Cadangannya menekankan pendedahan pelajar kepada agama lain selain agama sendiri, serta amalan bertentangan penghafalan ketika mempelajari agama sendiri.

Ketika ini, Pendidikan Islam termasuk dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diduduki pelajar tingkatan 5.

Bagi darjah 1 hingga 3, Tajuddin berkata, ritual agama harus “diamalkan dengan baik” berbanding menghafal dan 15% daripada masa di sekolah perlu diperuntukkan untuk pendidikan agama.

“Rombongan untuk setiap kumpulan pelajar ke masjid, gereja, kuil dan tokong adalah wajib,” katanya kepada FMT.

“Penekanan kepada pendidikan awal bagi darjah 1, 2 dan 3 perlu menumpukan pengukuhan identiti komuniti peribadi kanak-kanak sebagai entiti dalam pembinaan budaya sendiri.

“Kita tidak patut cuba menjadikan mereka warganegara patriotik lagi. Ia cukup untuk mereka tahu budaya dan agama sendiri.”

Bagi darjah 4 hingga 6, Tajuddin berkata, pelajar harus belajar ritual dan kepercayaan budaya lain serta dibawa ke tempat ibadat lain, selain agama sendiri.

“Saya tidak faham mengapa orang Melayu sangat takut melawat gereja dan kuil, apabila Umar al-Khatab pernah berdoa dalam sebuah gereja ketika umat Islam menakluki Baitulmaqdis,” katanya sambil menambah masa mempelajari agama perlu dikurangkan kepada hanya 10% daripada masa pelajar di sekolah pada peringkat ini.

Bagi tingkatan 1 hingga 3, beliau berkata, pemahaman mengenai pembinaan negara boleh diperkenalkan berhubung pemahaman antara budaya.

“Harap tidak ada lagi orang Cina yang tidak tahu berapa kali umat Islam bersolat atau apa maksud berkhatan dan tiada lagi orang Melayu yang tidak memahami makna perayaan Ching Ming.”

Tajuddin berkata, bagi tingkatan 4 dan 5, pembelajaran agama hanya perlu diteruskan kerana ia bertindak sebagai “pengikat kaum”.

Beliau juga percaya guru agama perlu dilatih bukan hanya sebagai ulama, tetapi sebagai “guru sebenar” dengan pelbagai idea menggunakan multimedia, drama, nyanyian, rombongan ke rumah orang tua dan kaedah lain untuk menyemai nilai betul.

“Ketika ini, pembelajaran agama adalah subjek paling membosankan! Ia seperti berjalan ke sebuah madrasah atau bilik seminar. Pengajaran agama, terutama Islam mesti diubah menjadi lebih dinamik.

“Saya pernah mencadangkan bacaan buku Enid Blyton untuk mengajar nilai moral kepada ustaz. Mereka tidak pernah bercakap dengan saya lagi selepas itu.”

Beliau turut mencadangkan tiada peperiksaan subjek agama apabila pelajar ke sekolah menengah.

Tajuddin berkata, untuk menambah baik sistem pendidikan negara, kumpulan pemikir perlu mencari idea dan bersaing membentangkan idea itu kepada sebuah jawatankuasa terdiri daripada rakyat pelbagai latar belakang yang berperanan sebagai hakim.

“Kita, rakyat perlu mengambil alih kuasa mendidik anak-anak kita. Saya menganggap pendidikan untuk mendidik seorang individu, bukan sekadar melahirkan tenaga kerja. Mendidik anak sepatutnya seronok dan menarik atau kita tidak seharusnya mengajar sama sekali.

“Kita tidak patut melihat anak kita sekadar tenaga kerja, tetapi sebagai individu toleran, kreatif dan kritikal. Ini adalah ciri terpenting kemahiran hidup dan tiada sains atau masa tambahan komputer yang mampu menggantikan ciri teras tersebut.”

Tajuddin berkata, pengalaman 25 tahun sebagai ahli akademik dan 27 tahun sebagai seorang bapa “melayakkan” beliau menyuarakan pemikirannya berhubung kurikulum baharu sekolah rendah dan menengah.

“Saya tidak peduli berapa ribu pelajar mendapat 12A dalam SPM atau 5A dalam UPSR. Saya tidak melabur dalam penghafalan yang tidak sihat dari segi sosial, fisiologi dan politik untuk negara kita.

“Dalam 100 tahun, ia tidak boleh melahirkan pelajar mempunyai minda kritis untuk menghadapi masalah hari ini dan masa depan. Ia hanya menghasilkan robot tidak berakal yang menunggu bayaran gaji seterusnya.

“Sesungguhnya, kita hidup dalam dunia fantasi jika kita fikir anak kita mempunyai masa depan terbaik, sekiranya mereka mendapat semua A dalam peperiksaan.”