Hari-hari orang ucap ‘Good Morning Sir’ kepada saya, kata Khalid

khalid-abu-bakar_sr

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini mempersoalkan apa salahnya ketua baharu Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG) Bukit Aman menerima panggilan telefon daripada seorang suspek melindungi aktiviti haram di Melaka, sambil berkata beliau sendiri menerima beratus-ratus panggilan daripada orang tidak dikenali.

“Saya dah sebut sebelum ini, apa masalahnya adanya perhubungan? Bukan bermakna perhubungan telefon itu akan menjurus kepada melakukan apa-apa juga kesalahan,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat polis Bukit Aman hari ini.

Khalid merujuk dakwaan Sarawak Report yang DCP Saiful Azly Kamaruddin menerima “tidak kurang 36 panggilan” daripada Gopinathan Krishnan yang lebih dikenali sebagai Gopi.

Dia ialah salah seorang suspek ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Mei lalu kerana disyaki menjadi “orang tengah” utama antara polis dan kegiatan judi dan rumah urut haram di Melaka, Mei lalu.

Sarawak Report mendakwa panggilan itu diterima antara Januari hingga Februari lalu sebelum Saiful dinaikkan pangkat.

Ia juga mendakwa selepas Saiful dinaikkan pangkat, Gopi terus menelefonnya sebanyak 17 kali pada Mac dan April lalu. Kebanyakannya hanya beberapa saat.

“Saya pun dah cakap sebelum ini, saya tak mahu layanlah Sarawak Report yang membuat cerita merepek-repek,” katanya sambil berkongsi pengalaman peribadi menerima ratusan panggilan telefon setiap hari untuk bertanya khabar kepadanya.

“Ramai orang menelefon saya setiap hari untuk mengucapkan selamat pagi. Adakah itu pun mencurigakan? Anda boleh semak telefon saya.

“Saya menerima beratus-ratus panggilan setiap pagi daripada mereka yang ingin mengucapkan selamat pagi kepada saya.”

Pada 14 Jun lalu, Khalid mengakui beliau dan keluarganya mengenali Gopi, tetapi ia tidak bermakna dia akan terlepas daripada tindakan undang-undang sekiranya terlibat jenayah.

“Gopi, jika dia melakukan apa-apa di luar undang-undang, saya akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM,” katanya.

Sarawak Report mengaitkan Gopi dengan Khalid, dan mendakwa mempunyai dokumen membuktikan lelaki berusia 32 tahun itu berhubung dengannya melalui telefon.

Sarawak Report turut mendakwa Gopi pernah menghubungi ipar Khalid, Mohd Isa Hussin yang menjalankan perniagaan senjata api di bawah syarikat Nilai Arms.

https://www.youtube.com/watch?v=DKoBZcbg-rk&feature=youtu.be

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/06/14/kpn-saya-kenal-suspek-jenayah-tak-bermakna-mereka-terlepas/