Bahasa Melayu: Kenapa pemimpin layan kehendak minoriti, soal ahli akademik

Perlembagaan-PersekutuanBANGI: Presiden Kolej Cyberjaya Profesor Datuk Dr Mohamad Abdul Razak hairan mengapa pemimpin politik melayan kehendak minoriti yang mahu bahasa Melayu diketepikan.

Katanya, polemik tentang bahasa Melayu tidak seharusnya berlaku memandangkan kedudukan bahasa itu sudah jelas termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Saya tidak faham kenapa pemimpin politik layan kumpulan kecil ini. Mungkin mereka ada sesuatu, seperti mahu dapatkan pengaruh.

“Mungkin pegawai tertinggi dalam kerajaan, pengarah, ketua setiausaha dan menteri tidak memahami Perlembagaan.

“Polemik tersebut tidak harus terjadi, sudah jelas di mana kedudukan bahasa dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam program Bicara Persada UKM bertajuk “Penguasaan Bahasa Melayu Dalam Sektor Awam: Boleh Dikompromi?” di Universiti Kebangsaan Malaysia hari ini.

Pada 2 Julai, Kementerian Kesihatan mengumumkan kelonggaran syarat lulus subjek itu untuk pekerja perubatan lantikan kontrak, iaitu pelatih perubatan.

Ia bagi membolehkan graduan perubatan yang tidak lulus BM peringkat SPM berkhidmat dan membolehkan mereka memperoleh sijil penuh pegawai perubatan.

Sejak 1 Oktober tahun lalu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melantik pelatih gred UD-41 secara kontrak, tetapi calon masih perlu lulus subjek BM peringkat SPM.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, daripada 4,500 siswazah dilantik sejak Disember 2016, hanya 23 sahaja menerima kesan daripada kelonggaran itu yang kebanyakannya anak-anak diplomat.

“Sebelas ialah anak orang Melayu sebab bapa mereka kerja di luar tetapi itu tidak bererti mereka tidak boleh bercakap dalam Bahasa Melayu,” kata Subramaniam.

Dr Mohamad Abdul bagaimanapun berkata, jumlah kecil pegawai perubatan ini tidak menjejaskan keseluruhan perkhidmatan kesihatan di Malaysia.

Semalam, dalam mesyuarat Kabinet, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata Kabinet sebulat suara membatalkan keputusan Kementerian Kesihatan.

Zahid berkata Kabinet komited mempertahankan Perkara 152 Perlembagaan Malaysia mengenai Bahasa Kebangsaan.

“Bahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaan dan merupakan bahasa rasmi Persekutuan iaitu selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Akta 32),” kata Zahid.

Sementara itu, Pengasas Institut Kajian Etnik UKM Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin percaya, keputusan Kabinet semalam merupakan keputusan politik.

“Perpecahan yang ada dalam parti politik negara kita ini adalah perpecahan mencari takrif bangsa. Saya lihat parti politik adalah bayangan kepada idea bangsa idaman yang belum selesai.

“Rupanya bangsa idaman ini ditentukan melalui pilihan raya. Tidak ada perkara yang tidak menyentuh keputusan politik. Saya rasa keputusan kabinet itu adalah keputusan politik.

“Dia (Kabinet) sudah terasa panas dengan keadaan, jadi kena buat keputusan, jadi saya lihat melatah politik ini perkara biasa,” katanya.