Bukit Aman sahkan kematian militan warga Malaysia

Jeknal-Adil-isis-malaysian-died

PETALING JAYA: Seorang lagi militan warga Malaysia disahkan terbunuh di Filipina, setahun selepas kematiannya, lapor New Straits Times.

Konflik di selatan Filipina berlarutan sejak beberapa tahun kebelakangan, dan kini melarat sehingga Presiden Filipina Rodrigo Duterte mengisytiharkan undang-undang tentera pada Mei.

Jeknal Adil difahamkan terbunuh dalam 1 pertempuran di Basilan Julai lepas namun tidak disahkan sehingga baru-baru ini. Beliau dianggap seorang militan berpengalaman dan berasal dari Sabah.

Beliau dikenali dengan nama Abu Shabah Al Muhajir selepas menyertai kumpulan pengganas Abu Sayyaf, yang bersetuju dengan IS, dan dikatakan salah seorang daripada 2 warga Malaysia yang mengetuai kubu kuat kumpulan itu di Basilan.

Kematiannya dilaporkan majalah propaganda IS, Rumiyah, secara terperinci dalam keluaran bulan lepas.

“Abu Shabah” sedang menyediakan sarapan untuk ahli kem apabila terdengar deram-derum artileri berat menuju ke arah mereka, menurut laporan itu.

Menurut NST, Jeknal dan seorang lagi warga Sabah, Amin Baco, meninggalkan Malaysia pada 2010 untuk menyertai Abu Sayyaf.

Mereka disertai 3 lagi rakyat Malaysia, yang melarikan diri pada 2014, dan bersama mereka menganggotai “Khatiba Muhajrin”, yang turut dianggotai militan dari Indonesia dan diketuai oleh Mahmud Ahmad, seorang warga Malaysia yang pernah menjadi pensyarah di Universiti Malaya.

Kematian Jeknal disahkan Penolong Pengarah Counter Terrorisme Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, yang berkata hasil risikan menunjukkan Jeknal terbunuh dalam serangan hendap tentera Filipina.

Menurut laporan itu, Jeknal menerima latihan ketenteraan di sebuah kem Abu Sayyaf di pulau Jolo antara September 2005 dan Mac 2006.

“Dia ditangkap pada 16 Mac 2006, bersama seorang lagi militan Indonesia, dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri, yang sudah dimansuhkan sekarang, di pusat tahanan Kamunting. Dia selesai menjalani perintah sekatan pada 10 Mei 2010 dan pergi ke selatan Filipina kira-kira 6 bulan kemudian,” kata Ayob kepada akhbar itu.

Jeknal dilapor meloloskan diri dari polis apabila dia kembali ke Sabah untuk membantu isteri dan anak Amin berpindah ke Mindanao.

Sumber mendedahkan Jeknal tidak mahu tinggal di Sabah selepas gagal mendapat kad pengenalan Malaysia.

“Secara teknikal, walaupun dia dianggap sebagai rakyat Malaysia, namun dia tidak mempunyai kewarganegaraan Malaysia. Dia dilahirkan di Sabah, tetapi ayahnya warga Filipina dan ibu bapanya tidak mendaftarkan kelahirannya.

“Tanpa kad pengenalan, sukar bagi dia untuk mendapatkan pekerjaan atau berkahwin, jadi dia memutuskan untuk pergi,” lapor NST memetik sumber itu.