Golongan OKU bakal bekerja di hotel

hotelJOHOR BAHRU: Sejumlah 30 orang kelainan upaya (OKU) berpeluang menyertai bidang perhotelan dalam satu projek perintis, hasil kerjasama MIC dan Riverbank Academy.

Ketua Pemuda MIC Johor, B Subramaniam berkata projek itu kali pertama dilaksanakan akan memastikan peserta yang terpilih diberi peluang menerima latihan sekali gus berpeluang bekerja di bahagian operasi hotel seperti ‘housekeeping’ dan barisan depan seperti di pintu masuk hotel dan kaunter.

Dengan adanya projek seperti ini, ia dapat membantu golongan OKU bekerja serta berupaya mengubah nasib mereka.

“Projek ini berperanan untuk membantu golongan ini meningkatkan taraf kehidupan mereka dan mengurangkan kadar pengangguran di kalangan OKU,” kata beliau kepada Bernama ketika ditemui pada sesi temuduga terbuka bersama OKU untuk projek berkenaan di Pejabat MIC negeri hari ini.

Beliau berkata dengan projek seumpama ini, ia akan menjadi pendorong kepada golongan OKU untuk berdikari dan berusaha keluar dari zon selesa, selain mengurangkan kebergantungan terhadap bantuan pelbagai pihak.

Untuk projek itu, peserta yang terpilih akan menjalani latihan selama 3 bulan sebelum berpeluang diambil bekerja oleh pihak hotel.

Ketua Eksekutif dan pengasas Riverbank Academy, S Mahendran berkata organisasi latihan berkenaan akan ditugaskan melatih dan menasihat golongan yang berminat untuk menceburi pelbagai bidang pekerjaan yang diperlukan industri.

Buat kali pertama tahun ini, Riverbank Academy akan melatih golongan OKU dalam menyediakan mereka untuk bekerja di bidang perhotelan.

Sasaran mereka adalah mereka yang berumur antara 17 hingga 40 tahun.

Amira Ismail, 23, pelajar Kolej Suria Johor yang mempunyai masalah pembelajaran berkata, peluang seperti ini sangat membantu dan dia berminat untuk belajar membuat pelbagai jenis pastri sekiranya terpilih menyertai projek berkenaan.

Navin Gopal, 18, pula berkata bila terdengar tawaran untuk bekerja dalam bidang perhotelan, dia tidak melepaskan peluang kerana peluang itu sangat menarik.