Kanak-kanak tanpa kerakyatan lebih ramai dari penduduk Perlis

Teo-Nie-Ching-conference-malaysiaBUTTERWORTH: DAP hari ini mencadangkan sidang meja bulat bagi menyelesaikan isu hampir 300,000 kanak-kanak dilahirkan di Malaysia yang tidak mendapat taraf kewarganegaraan.

Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching berkata angka itu lebih ramai daripada jumlah penduduk Perlis sebanyak 250,000.

“Sidang meja bulat itu terbuka kepada semua parti politik, BN atau MIC, dan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan, untuk menyelesaikan masalah itu.

“Bilangan mereka semakin ramai setiap tahun dan ia membimbangkan,” Teo memberitahu forum mengenai kanak-kanak tanpa kerakyatan dianjurkan Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuriraani Patto di Juru semalam.

Teo berkata masalah asas ialah prosedur standard (SOP) yang diamalkan Jabatan Pendaftaran Negara yang hanya mengurniakan taraf kerakyatan kepada kanak-kanak yang dilahirkan kepada ibu bapa yang berkahwin secara sah.

Menurut Teo, ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang menyebut seseorang itu secara automatik menjadi rakyat Malaysia sekiranya salah seorang ibu bapa ialah warganegara.

Dalam jawapan di Dewan Rakyat pada November lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata terdapat 290,437 kanak-kanak bawah umur 18 tahun tanpa kerakyatan.

Menurutnya, 15,394 kanak-kanak dilahirkan di Malaysia dinafikan taraf kewarganegaraan di antara tahun 2012 dan Januari 2017, walaupun bapa mereka merupakan warganegara Malaysia.

Teo berkata ia bermakna purata 8 kanak-kanak tanpa kerakyatan lahir setiap hari.

“Kanak-kanak tidak wajar dimangsakan atas kesilapan dan kecuaian ibu bapa mereka, cuma perlu permudahkan pemberian taraf kewarganegaraan kerana mereka tidak berdosa,” kata Teo.

Sementara itu, Kasthuriraani berkata JPN perlu menjelaskan penolakan permohonan taraf kerakyatan supaya pemohon boleh membetulkan kesilapan mereka.

Menurutnya, kebanyakan kanak-kanak tanpa kerakyatan adalah daripada masyarakat India, tetapi ia kini merupakan masalah Malaysia.

Beliau turut mempersoalkan mengapa pasangan VIP mudah mendapat taraf kerakyatan, sedangkan JPN menolak mereka yang lebih layak.

“Bagaimana isteri kepada seorang bekas ketua menteri diberikan taraf kewarganegaraan, malah dibenarkan mengundi dalam dua pilihan raya?” soalnya.