Kerajaan Sarawak teruskan dasar inklusif

Douglas-Uggah-sarawakKUCHING: Kerajaan Sarawak akan meneruskan dasar inklusifnya dalam cara yang bukan sahaja boleh dilihat, tetapi turut dirasai rakyat negeri itu, kata Datuk Seri Douglas Uggah Embas.

Timbalan ketua menteri Sarawak itu berkata, keterangkuman dan perkongsian kuasa menjadi amalan parti komponen Barisan Nasional (BN) paling kuat di negeri itu, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) selama beberapa dekad.

“PBB berjaya mengetuai kerajaan di Sarawak untuk tempoh sangat lama disebabkan perkongsian kuasa.

“Sudah tentu ada kalanya keadaan menjadi sangat mencabar, tetapi kami sentiasa terbuka untuk perbincangan bagi memastikan kami tidak mengabaikan sesiapa pun.

“Kami inklusif dalam dasar yang bukan hanya dapat dilihat, tetapi turut dirasai rakyat,” kata pemangku timbalan presiden PBB itu dalam wawancara eksklusif bersama FMT di Kuching hujung minggu lalu.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan parti komponen BN lain diketepikan kerana penguasaan PBB dalam kerajaan negeri.

Ia khasnya selepas krisis Pujut yang menyaksikan majoriti adun mengundi untuk melucutkan kelayakan Adun Pujut daripada DAP, Dr Ting Tiong Choon.

Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Dr Sim Kui Hian sebelum ini memberitahu FMT beliau dan beberapa adun BN “langsung tidak bersedia” dengan usul dibawakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Perdagangan negeri, Datuk Seri Wong Soon Koh.

PBB mempunyai 39 daripada 72 kerusi Dewan Undangan Negeri yang dimenangi BN. SUPP memiliki 7 kerusi, Parti Rakyat Sarawak (11), Parti Demokratik Progresif Sarawak (4) dan baki 11 kerusi dimenangi calon langsung BN.

Parti pembangkang negeri itu hanya memenangi 10 kerusi DUN pada pilihan raya Sarawak tahun lalu.

Uggah yang juga menteri pemodenan pertanian, tanah adat dan pembangunan wilayah memberi beberapa contoh untuk membuktikan kewujudan perkongsian kuasa antara semua parti komponen BN Sarawak.

Katanya, ia termasuk cara portfolio menteri negeri diagihkan, menunjukkan setiap pemimpin BN diberikan portfolio sesuai yang membolehkan mereka membantu komuniti masing-masing.

“Semua portfolio penting membabitkan komuniti Dayak diberikan kepada orang Dayak. Tan Sri James Jemut Masing mengendalikan infrastruktur, Datuk Stephen Rundi Utom bertanggungjawab ke atas utiliti, Datuk Seri Michael Manyin Jawong, pendidikan dan penyelidikan.

“Malah SUPP diberikan (portfolio) kerajaan tempatan dan perumahan kerana bagi kami di PBB, perkongsian kuasa bukan hanya retorik, tetapi ia perlu dirasai setiap orang.”

Beliau mengakui pembangkang negeri sentiasa mencari isu untuk menentang kerajaan Sarawak dan krisis Pujut ialah satu daripadanya.

“Ia sangat jelas isu itu sama ada orang berkenaan (Dr Ting) ialah rakyat Malaysia atau tidak.

“Dan ia sangat memalukan bagi Sarawak serta DUN untuk mempunyai seseorang (wakil rakyat) yang mempunyai 2 kerakyatan atau kewarganegaraan bukan Malaysia,” kata Uggah.

Bagaimanapun, katanya, ia berubah menjadi cara untuk pembangkang, khasnya DAP memulihkan imej mereka di negeri itu.

“Saya mengakui mereka benar-benar memanfaatkan isu ini. Tetapi, semua isu akhirnya akan mati dan saya fikir seluruh perkara ini (krisis Pujut) akan bergantung kepada rayuan itu.

“Bagi kami, kami perlu memastikan agenda utama kami diteruskan.”

Katanya, agenda itu termasuk program transformasi luar bandar dan memperbaiki kehidupan rakyat di Sarawak.