Khalid: Rombakan polis persiapan buat PRU14, Sukan SEA

khalid-abu-bakar-polis-pdrm-ramaiKUALA LUMPUR: Rombakan besar-besaran dalam pasukan polis yang diumumkan awal minggu ini dilakukan sebagai persiapan untuk menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dan temasya Sukan SEA, kata Tan Sri Khalid Abu Bakar.

“Ini disebabkan beberapa orang yang akan bersara, telah bersara, jadi kita perlu membuat sedikit rombakan ini untuk kita memperkemas, mempersiapkan PDRM (Polis Diraja Malaysia) menghadapi pilihan raya umum dan yang paling hampir untuk SEA Games,” kata ketua polis negara pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

Pada 11 Jun lalu, Khalid dilaporkan berkata, polis akan membuat rombakan besar-besaran peringkat atasan di semua bahagian di Bukit Aman selepas sambutan Aidilfitri.

Selasa lalu, PDRM mengumumkan pertukaran dan kenaikan pangkat 76 pegawai, membabitkan 46 jawatan di seluruh negara.

Rombakan itu turut menyaksikan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohmad Salleh dilantik mengetuai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), susulan persaraan pengarahnya, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff pada bulan depan.

Ia selepas penahanan beberapa pegawai JSJN atas dakwaan rasuah. Bulan lalu, Khalid berkata, sekurang-kurangnya 20 anggota JSJN Bukit Aman ditukarkan.

Sementara itu, Khalid berkata, pertukaran dalam PDRM adalah perkara biasa dan “gelombang seterusnya” mungkin berlaku selepas persaraannya.

Beliau yang dijadualkan bersara wajib pada September ini bagaimanapun enggan mengulas jika beliau menerima tawaran melanjutkan tempoh jawatannya.

Belum ada tarikh ditetapkan untuk PRU14 yang perlu diadakan menjelang pertengahan 2018. Sukan SEA pula akan bermula 19 hingga 30 Ogos ini.

https://www.youtube.com/watch?v=VzqPbL6KQF8