KPN: Jepun belum beri laporan mengenai tangkapan warga Malaysia

Khalid-Abu-Bakar_emas

KUALA LUMPUR: Polis belum menerima laporan dari rakan sejawat di Jepun mengenai 10 warga Malaysia yang ditangkap kerana dituduh menyeludup 100kg jongkong emas ke Jepun.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis Jepun tidak memberi maklum balas kepada permohonan polis Malaysia.

“Kami minta laporan sejurus selepas tangkapan dihebahkan. Kami buat permohonan susulan setiap hari,” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

Polis sudah memohon melalui Interpol tetapi “mereka masih tidak memberi laporan kepada kita.”

“Kita masih menunggu lagi.”

Minggu lepas portal Japan Today melaporkan lebih 100kg jongkong emas didakwa dibawa dari Malaysia dirampas kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai, Osaka pada April.

Menurut portal itu, jongkong emas bernilai lebih 500 juta yen (RM19 juta) disorok dalam baju 10 warga Malaysia yang tidak menjalani prosedur pengisytiharaan kastam.

Laporan itu menambah pegawai kastam Jepun menganggap mereka disyaki melanggar undang-undang kastam dan cukai penggunaan.

“Kita harap pihak berkuasa Jepun segera beri laporan ini…Kalau betul, kita mahu jalankan siasatn di sebelah sini,” kata Khalid.

“Saya juga berharap kementerian luar mendesak Jepun memberikan maklum balas.”

Menurut Japan Today, penyeludupan emas meningkat sejak April 2014, apabila cukai penggunaan Jepun dinaikkan dari 5% ke 8%.

Seorang wanita ditangkap awal Jun lalu kerana terlibat dalam penyeludupan emas dilaporkan memberi polis aktiviti itu seperti “kerja separuh masa”.

Menurut beliau, setiap kilogram emas yang dibawa masuk ke Jepun boleh meraih 10,000 yen.

https://www.youtube.com/watch?v=4owCkE3Dzok&feature=youtu.be