Majlis Bekas Wakil Rakyat cadang anjur DUN Belia

mubarakKUALA LUMPUR: Selepas kejayaan Parlimen Belia, Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) bercadang mengadakan program serupa di peringkat negeri.

Presidennya, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, ia akan dimulakan di Pahang dan Melaka, diikuti negeri lain.

“Kita perlu membentangkan dulu cadangan ini dan memerlukan kerjasama kementerian.

“Ini usaha Mubarak dengan tajaan kerajaan. (Pelajar) universiti perlu didedah dan terlibat dengan pembangunan negeri,” katanya pada sidang media di pejabat Mubarak hari ini.

Katanya, program “DUN Belia” bakal mengikuti format persidangan Dewan Undangan Negeri sebenar, dengan setiap kawasan DUN diwakili pelajar terbabit.

Mac lalu, Penasihat Mubarak Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik mencadangkan program sama di negeri itu, namun tidak menyatakan bila pelaksanaannya.

Parlimen Belia mula diadakan pada 2015 bertujuan memberi ruang kepada “pemimpin masa depan” menyuarakan idea dan berbahas dasar negara di Parlimen.

Mubarak merupakan badan utama di sebalik program itu, dengan Aziz menjadi pengerusi bersama Jawatankuasa Induk Program Persidangan Parlimen Mahasiswa 2017.

Dalam pada itu, Aziz berkata, beliau sudah berbincang dengan pihak Parlimen agar mengekalkan bangunan lama Dewan Rakyat untuk penganjuran program Parlimen Belia pada masa akan datang.

“Kita mahu anak muda bersama dalam arus perdana penggubalan undang-undang, dan puncak kepada penggubalan undang-undang adalah Dewan Rakyat dan Dewan Negara,” katanya.