Nazri janji insentif khas untuk pengusaha pelancongan

Nazri-Aziz_pelancong_china_600

KUALA LUMPUR: Susulan laporan baru-baru ini berhubung ribuan pelancong China membatalkan tempahan ke Malaysia kerana enggan membayar cukai pelancongan baru, menteri pelancongan dan kebudayaan kini menjanjikan “insentif khas” untuk mengurangkan kesan negatif ke atas pengusaha pelancongan domestik.

Presiden Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (Mita), Uzaidi Udanis berkata, jaminan itu diberikan Datuk Seri Nazri Aziz dalam mesyuarat 2 hari lalu.

Katanya, mesyuarat itu turut dihadiri pegawai kanan kementerian dan wakil Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) serta Persatuan Pelancongan Cina Malaysia (MCTA).

“Mita menyuarakan kebimbangan kami berhubung rombongan pelancongan kontrak yang memerlukan pengesahan kos penginapan sebenar.

“Datuk Nazri memberi perhatian terhadap isu rombongan pelancongan kontrak terdahulu dan memberi jaminan insentif serta pertimbangan khas akan diberikan untuk mengelakkan pembatalan kontrak rombongan pelancong dari luar negara kerana kebanyakan kontrak sah sehingga 31 Mac 2018,” katanya pada sidang media.

Beliau berkata, insentif khas itu bertujuan memastikan rombongan pelancongan tidak membatalkan tempahan mereka disebabkan kenaikan kos penginapan.

Katanya, insentif tertentu sudah dilaksanakan kementerian itu bagi membantu rombongan pelancongan melalui MyCEB (Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia) serta Tourism Malaysia.

Bulan lalu, akhbar berbahasa Cina terbesar di Borneo melaporkan kira-kira 3,000 pelancong dari China membatalkan tempahan mereka ke Malaysia ekoran pelaksanaan cukai pelancongan.

Akhbar itu memetik seorang ejen pelancongan sebagai berkata, pelancong perlu membayar tambahan RM100,000 untuk cukai pelancongan, menyebabkan mereka mengubah jadual perjalanan ke Thailand.

Pada 27 Jun lalu, Nazri dipetik Sin Chew Daily sebagai berkata, cukai pelancongan yang dijadual dikuatkuasakan mulai hari ini ditangguhkan sehingga 1 Ogos kerana sistem itu belum siap sepenuhnya.

Katanya, semua pelancong asing akan dikenakan cukai pelancongan, tetapi warganegara Malaysia yang tinggal di hotel 3 bintang dan ke bawah dikecualikan cukai baharu itu.

Beliau berkata, cukai pelancongan terbahagi kepada 4 kategori iaitu RM20 untuk penginapan semalam di hotel 5 bintang, RM10 hotel 4 bintang, RM5 hotel 3 bintang serta RM2.50 bagi hotel 2 bintang dan ke bawah.

Pada sidang Parlimen April lalu, Rang Undang-undang Cukai Pelancongan 2017 yang dibentangkan Nazri diluluskan dengan undian majoriti.

Ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu, Nazri dilaporkan berkata, cukai pelancongan itu dianggarkan mampu memberi kutipan RM654.62 juta, sekiranya kadar penginapan semalaman bagi keseluruhan 11 juta bilik di negara ini mencapai 60%.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/06/27/cukai-pelancongan-ditangguh-1-ogos-kata-nazri/