Pakej pelancongan sudah ditempah dikecualikan cukai, kata Nazri

nazri-tourismKUALA LUMPUR: Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz hari ini mengumumkan kerajaan akan mengecualikan cukai pelancongan bagi bilik yang sudah ditempah melalui pengusaha pelancongan sehingga Mac 2018.

Beliau berkata, peruntukan yang membenarkan pengecualian kepada golongan tertentu itu dinyatakan ketika pembentangan Rang Undang-Undang Cukai Pelancongan 2017.

Nazri berkata kementerian sedar agensi pelancongan mempunyai perjanjian dengan hotel, maka pengenaan harga baharu akan menyulitkan urusan mereka dengan pelancong yang sudah menempah pakej.

“Jadi bagi mereka yang sudah membuat perjanjian yang berakhir Mac tahun depan, kementerian setuju untuk memberikan pengecualian. Bermula 1 April, baru mereka dikenakan cukai,” katanya pada sidang media di Pejabat Menteri Pelancongan dan Kebudayaan hari ini.

Justeru, beliau meminta pengusaha menulis surat kepada kementerian dan membuktikan kontrak dan perjanjian yang sudah dibuat untuk diberikan pengecualian itu.

“Kita akan mengambil kira setiap permohonan,” katanya lagi.

Beliau mengesahkan kenyataan Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (Mita) yang kerajaan menjanjikan “insentif khas” kepada pengusaha pelancongan domestik yang terkesan dengan pelaksanaan cukai pelancongan.

Ia berikutan laporan akhbar bulan lalu, yang melaporkan terdapat 3,000 pelancong China membatalkan tempahan ke Malaysia akibat pelaksanaan cukai tersebut.

Selain itu, Nazri mengesahkan rakyat Malaysia yang menginap di hotel bertaraf 3 bintang ke bawah turut dikecualikan.

“Bagi mereka yang menginap di hotel 4 dan 5 bintang ke atas, mereka dikenakan cukai kerana memang mampu membayarnya,” katanya.

Akhir bulan lalu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata kerajaan sedang mengkaji perkara itu.

Airbnb tidak terlepas

Cukai tersebut bakal dilaksanakan 1 Ogos ini, walaupun perancangan asal ia sepatutnya bermula bulan ini.

Nazri menegaskan pelaksanaan cukai tersebut sangat penting kerana hasil cukai akan digunakan untuk mempromosikan negara dan mengalakkan kedatangan pelancong.

Beliau menjelaskan hasil cukai itu akan dibahagikan mengikut 3 wilayah: Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Nazri menjelaskan kementerian tidak mempunyai dana mencukupi untuk tujuan promosi secukupnya selepas peruntukan untuk pelancongan dikurangkan, serta kejatuhan nilai ringgit.

“Jadi kehadiran pelancong menurun berbanding negara jiran yang lain…industri hotel juga perlu memainkan peranan dalam mempromosikan negara kita,” katanya.

Sementara itu, Nazri berkata pemilik rumah yang menawarkan penginapan melalui Airbnb juga akan dikenakan cukai pelancongan, tetapi bagi rumah yang memiliki 6 bilik ke atas.

“Kita akan menarafkan mereka mengikut berapa bintang. Misalnya penarafan 4 bintang akan dikenakan cukai sama seperti bilik hotel 4 bintang.

“Kita tidak akan tunggu mereka datang tetapi akan pergi kepada mereka untuk mendaftarkan mereka,” katanya sambil memaklumkan proses itu sudah pun bermula.