Pemilik kedai kek didakwa ambil 19 pekerja asing tanpa izin

Peguam Zaflee Pakwanteh (kiri) bersama pemilik kedai kek, Hamdam Ismail.

SEPANG: Seorang pemilik kedai kek didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini kerana mengambil 19 pekerja asing tanpa izin (PATI) untuk bekerja di kedainya.

Hamdam Ismail, 45, mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan dibacakan di depan Hakim Saiful Akmal Mohd Said.

Tertuduh didakwa mengambil 18 warga Indonesia dan seorang warga Bangladesh yang tidak memiliki pas yang sah untuk bekerja di Kedai Kek Harissa yang dimiliki oleh Nur Cake House Sdn Bhd di Taman Pinggiran USJ 1/11, Subang Jaya, Selangor ketika serbuan pada 4.40 petang pada 23 Mei lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum menurut Seksyen 55B(3) akta yang sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 6 bulan tetapi tidak lebih 5 tahun dan boleh dihukum sebat tidak lebih daripada 6 sebatan.

Sebelum itu, pegawai pendakwa dari Jabatan Imigresen, Norzam Suhada Abdull Wahab mencadangkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM95,000.

Namun, peguam Zaflee Pakwanteh merayu agar dikurangkan berikutan tertuduh tiada sumber pendapatan setelah kedai keknya tidak beroperasi sejak serbuan pada 23 Mei lalu.

Zaflee juga memberitahu mahkamah, anak guamnya perlu menanggung 2 anaknya yang masih di sekolah menengah dan 3 lagi di sekolah rendah manakala isterinya sarat mengandung dan akan bersalin pada bila-bila masa.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM43,000 serta 2 penjamin selain menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Selain itu, tertuduh perlu melapor diri di pejabat Bahagian Penguat Kuasa Shah Alam, Jabatan Imigresen, Selangor setiap awal bulan.

Kes akan disebut semula dan serahan dokumen pada 8 Ogos ini.