Rotan pelajar sejenis ‘perlakuan menghina’, kata perjanjian PBB

caning-unKUALA LUMPUR: Hukuman rotan di sekolah termasuk dalam perlakuan menghina di bawah Perjanjian PBB Terhadap Penyeksaan dan Perlakuan atau Hukuman Lain yang Kejam, Tidak Berperikemanusiaan atau Merendahkan Martabat (UNCAT).

Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Jerald Joseph berkata Malaysia mengambil langkah positif terhadap hukuman dera dengan menandatangani UNCAT.

Pesuruhjaya Suhakam Lok Yim Pheng berkata kerajaan sudah mengorak langkah ke arah yang betul apabila melarang hukuman rotan secara terbuka di sekolah. Kerajaan membenarkan hukuman rotan pelajar secara tertutup.

“Jawatankuasa UNCAT sedia bekerjasama dengan kerajaan ke arah mengelakkan hukuman dera dan rotan.

“Keadaan tidak boleh berubah secara drastik kerana objektif masih rotan sifar,” kata Lok pada sidang media mengenai UNCAT di ibu negara hari ini.

Ahli jawatankuasa UNCAT, Abdelwahab Hani berkata ada cara selain hukuman untuk mencapai matlamat mendidik dan mendisiplinkan seseorang.

Warga Tunisia itu berkata banyak negara tidak mengamalkan hukuman dera tetapi mencapai tahap didikan dan disiplin yang baik.

Joseph berkata hukuman rotan di sekolah termasuk dalam perlakuan menghina di bawah Perkara 16 UNCAT.

Beliau berkata Malaysia perlu mereformasikan Kanun Keseksaan jika negara menandatangani perjanjian itu.

“Perjanjian ini membantu kerja kita dalam proses itu dengan cara yang lebih sistematik.”

Baru-baru ini, sebuah sekolah rendah Cina di Bandar Utama menarik perhatian kerana merotan murid yang gagal membayar yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Menurut laporan sebuah akhbar berbahasa Cina, murid berkenaan dirotan 12 kali.

Pada April, Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, 11, dimasukkan ke hospital kerana kecederaan di kaki selepas didakwa dirotan dengan hos getah oleh pembantu warden berusia 29 tahun di sekolah agamanya berdekatan Johor Bahru.

Kedua-dua kaki kanak-kanak itu mengalami jangkitan dan akhirnya terpaksa dipotong. Jangkitan itu merebak dan Thaqif meninggal dunia pada 26 April.