Setahun saya cuba yakinkan mereka, Dr M mengenai krisis 1998

mahathir-ringgitPETALING JAYA: Langkah kontroversi Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menambat nilai ringgit di kemuncak krisis matawang Asia 1997-1998 berdepan pelbagai halangan, kata bekas perdana menteri itu, yang menceritakan kepayahannya meyakinkan anggota Kabinet dan pakar tempatan sebelum dapat dilaksanakan.

Dalam wawancara bersama Bloomberg, Dr Mahathir berkata beliau mengambil masa setahun untuk menyakinkan jemaah menteri dan penasihatnya dalam Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), jawatankuasa yang ditubuhkannya pada Januari 1998, 9 bulan sebelum ringgit ditambat pada harga RM3.80 berbanding AS$1.

Salah seorang anggota yang lantang menentang rancangan itu ialah Tan Sri Mohammad Noordin Sopiee, ahli akademik yang mengetuai badan pemikir Institut Pengajian Strategik dan Antarabangsa (Isis), yang mengeluarkan hujah 32 perkara membantah sebarang langkah menambat ringgit.

“Kami terpaksa melawan setiap satu daripada 32 hujahnya,” kata Dr Mahathir.

“Saya kena cari jalan untuk membuktikan hujah itu salah.”

Dr Mahathir mengumumkan tambatan nilai ringgit pada 1 September 1998, sehari sebelum melucutkan jawatan timbalannya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mencetuskan krisis politik dan demonstrasi besar-besaran di Kuala Lumpur.

Langkah menambat nilai ringgit itu mengundang kritikan global termasuk Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), walaupun beberapa tahun selepas itu, langkah itu dipuji sebagai berkesan menyelamatkan ekonomi Malaysia.

Dr Mahathir berkata orang yang akhirnya berjaya meyakinkan anggota MTEN yang tidak berpuas hati dengan rancangan menambat nilai ringgit ialah pakar ekonomi Amerika Syarikat, Paul Krugman.

“Dia seorang ahli ekonomi terbilang dan sebagainya, maka mereka lebih yakin dengannya berbanding saya,” kata Dr Mahathir.

Dua puluh tahun sudah berlalu sejak krisis matawang Asia, dan Dr Mahathir, kini 91, masih menganggap pedagang matawang sebagai ancaman.

“Saya percaya dagangan matawang tidak boleh dijadikan perniagaan,” katanya kepada Bloomberg.

“Tak ada guna menganggap matawang sebagai komoditi, menyusutkan nilainya dan menyebabkan kemiskinan di negara miskin,” katanya.