SPRM: APMM paling berintegriti, bebas rasuah

Jamidan-Abdullah-sprm-pegawai-maritimPUTRAJAYA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merupakan antara badan penguatkuasa yang paling baik dalam aspek melaporkan dan menentang perlakuan rasuah dalam kalangan anggotanya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Jamidan Abdullah berkata agensi itu juga ditakrifkan sebagai bebas dari anasir negatif itu walaupun pegawai dan anggotanya tidak terlepas daripada cubaan sogokan oleh pihak tertentu.

Beliau berkata perakuan itu terbukti berdasarkan rekod yang menyaksikan anggota dan pegawai APMM merupakan individu terbanyak yang menerima imbuhan dan pengiktirafan daripada SPRM kerana menolak dan melaporkan perlakuan rasuah yang membawa kepada wujudnya kes tertentu selepas itu.

“Sebagai agensi yang menguatkuasakan peraturan maritim, anggota dan pegawai APMM tentunya menjadi sasaran pihak tertentu seperti nelayan dan penyeludup yang cuba memberi sogokan atau offer atas kepentingan masing-masing.

“Atas integriti yang kuat, mereka yang terbabit, malah ada yang disogok berulang kali tetap menolak tawaran tersebut sebelum tampil membuat aduan kepada SPRM dan bekerjasama dengan kami bagi membanteras gejala yang merosakkan itu,” katanya pada sidang media selepas majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) APMM hari ini.

Pada majlis itu, APMM diwakili oleh Ketua Pengarah Laksamana Maritim Datuk Zulkifili Abu Bakar.

Jamidan berkata setakat ini, tawaran yang disasarkan kepada anggota dan pegawai APMM yang bertugas di pesisir pantai itu lebih kepada pemberian wang tunai, bukannya dalam bentuk imbuhan lain seperti pakej percutian atau pemberian barangan berharga.

“Kita tidak nafikan ada anggota dan pegawai dari agensi penguatkuasaan lain seperti polis, imigresen dan kastam yang turut melaporkan kes jenayah rasuah tetapi dalam aspek ini APMM dilihat sebagai agensi paling berintegriti dalam hal melapor dan menolak sebarang tawaran berunsur rasuah,” katanya.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata pihaknya amat berbangga dengan integriti dan sikap bertanggungjawab serta amanah terhadap tugasan yang dipamerkan anggota dan pegawainya sambil berharap IBR yang ditandatangani mampu melonjakkan lagi nama baik agensi itu di mata masyarakat dan dunia.

Beliau berkata sebelum IBR, setiap perlakuan warga APMM, khususnya mereka yang bertugas di lapangan dipantau oleh pengurusan tertinggi bagi memastikan mereka bebas dari sebarang anasir negatif terutamanya jenayah rasuah dan salah guna kuasa.