Dr M: PPBM cuma tawar-menawar untuk jawatan tinggi PH

mahathir-3KUALA LUMPUR: Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad nafi partinya cuba memonopoli jawatan tinggi dalam Pakatan Harapan apabila ia meminta 2 kerusi tertinggi gabungan itu.

Bekas perdana menteri itu berkata ia cuma sebahagian daripada seni tawar-menawar.

“Bukan mahu monopoli. Ia seperti kamu cuba jual sesuatu. Pertama kamu minta harga tinggi, kemudian kamu runding, dan seterusnya kamu buat keputusan,” katanya kepada pemberita di suatu acara hari ini.

Turut hadir Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang berkata cadangan itu dibuat berdasarkan apa yang PPBM percaya akan membantu gabungan itu.

“Namakan seorang dua individu tidak bererti kami mahu monopoli. Kita mengamalkan konsep kesamaan.

“Jadi pada saya, dakwaan itu tidak betul,” katanya.

Malay Mail Online bulan lalu memetik seorang pemimpin PH sebagai berkata PPBM bercadang menamakan Dr Mahathir dan Muhyiddin sebagai pengerusi dan presiden dalam saf kepimpinan rasmi majlis presiden gabungan itu, sementara Datuk Seri Anwar Ibrahim dari PKR sebagai penasihat.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menolak kemungkinan itu, dengan berkata aturan seperti itu akan menyaksikan PPBM memonopoli gabungan.

PPBM secara rasmi menyertai PH Mac tahun ini. Komponen asal ialah PKR, DAP dan Amanah.

Persetujuan mengenai barisan kepimpinan PH oleh keempat-empat parti itu penting untuk membolehkan gabungan itu mendaftar di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) sebagai gabungan rasmi di bawah 1 logo.

Pada 23 Jun, Ketua Penerangan PPBM Kamarudin Md Nor berkata cadangan dikemukakan di mesyuarat PH 9 Jun lalu, dan PPBM sedia menerima sebarang keputusan jika disepakati semua parti.

Beliau berkata Muhyiddin akan mengukuhkan kepimpinan PH selaku presiden dalam menghadapi pilihan raya umum ke-14 kerana berpengalaman luas mengetuai kempen pilihan raya.

“PPBM sedia bertolak ansur mengenai jawatan presiden PH atas semangat konsensus,” tambahnya.

Pada 17 Jun, Anwar berkata PH perlu memastikan tradisi rundingan dan konsensus terus hidup dalam gabungan itu seperti yang diamalkan dalam Pakatan Rakyat sebelum ia terbubar pada Jun 2015.

“Semua pemimpin parti berada pada kedudukan yang sama dan pengerusi cuma seorang penyelaras,” kata Anwar.

“Semua persedian dan agenda mesyuarat dilaksanakan oleh urusetia bersama yang diwakili semua parti,” tambahnya.