Jawatan timbalan KPN ke-2 mungkin akan wujud

zahid-hamidi-polis-pdrm-rombakanBATU PAHAT: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak menolak kemungkinan ada keperluan untuk mewujudkan 1 lagi jawatan timbalan ketua polis negara (KPN) terutama dalam menangani ancaman keganasan.

Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri (KDN) berkata selain itu, cadangan untuk mewujudkan semula Jabatan Anti-keganasan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga dilihat boleh memperkukuhkan dan memperbesarkan keahlian dalam unit keganasan itu dalam usaha menangani ancaman tersebut.

“Saya tidak menolak, tidak mengesahkan dan tidak mahu menafikan analisis yang dibuat melalui akhbar (berbahasa Inggeris) mengenai keperluan mewujudkan 2 jawatan timbalan KPN kerana sebagai Menteri KDN yang mempengerusikan mesyuarat Suruhanjaya PDRM, pengumuman hanya akan dibuat selepas mesyuarat (sama ada) mengesah atau menolak cadangan berkenaan.”

“Bagaimanapun, memang terdapat keperluan untuk mewujudkan jawatan seorang lagi timbalan KPN dan mewujudkan semula Jabatan Anti-keganasan kerana kita tahu ancaman keganasan semakin berleluasa di rantau ini.

“Tetapi kita harus tahu PDRM perlu memperkukuhkan dan memperbesarkan lagi keanggotaan dalam unit keganasan ini dengan meningkatkan kepada taraf sebuah lagi jabatan dalam PDRM di Bukit Aman,” kata beliau selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Batu Pahat hari ini.

Mengenai calon yang akan dilantik bagi timbalan KPN yang ke-2, katanya, pengesahan hanya akan dibuat setelah diluluskan oleh suruhanjaya PDRM selain mendapat perkenan dari Yang Di-Pertuan Agong dan atas nasihat perdana menteri.

Zahid berkata demikian ketika mengulas mengenai laporan akhbar tempatan berbahasa Inggeris tentang PDRM yang sedang melalui rombakan besar dan bakal melihat 1 lagi jawatan timbalan KPN dan naik taraf Unit Anti-keganasan kepada taraf jabatan.

Buat masa ini, unit berkenaan hanya mempunyai 200 anggota.