Kementerian terima aduan stesen minyak ditutup awal pada Rabu

Hamzah-Zainuddin_oil_1600

KUALA LUMPUR: Kementerian terima aduan daripada pengguna mengenai tindakan stesen minyak menutup operasi lebih awal pada Rabu malam, iaitu pada hari harga baharu ditetapkan bagi keesokan hari hingga Rabu seterusnya.

Menteri Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan bertindak terhadap stesen minyak berkenaan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Sesiapa yang menyorok produk-produk terkawal seperti itu kalau kita dapati mereka lakukan kesalahan, kita akan ambil tindakan,” katanya pada sidang medianya selepas merasmikan festival Lulu’s World Food Expo 2017 di sini hari ini.

Pengguna meluahkan rasa kecewa apabila mendapati stesen minyak yang sering dikunjungi ditutup lebih awal pada Rabu malam lepas. Pengguna merasakan penutupan itu disengajakan, mungkin kerana pengusaha mahu mengaut keuntungan lebih apabila kenaikan harga Petrol RON95 dan RON97 diumumkan.

Penetapan harga baharu minyak kenderaan dilakukan secara mingguan setiap Rabu berkuatkuasa tengah malam. Terbaharu, RON95 dan RON97 diumumkan naik 4 sen, sementara diesel naik 7 sen.

Hamzah pada 4 Julai lalu dilaporkan berkata kementerian akan memperkenalkan formula baharu tidak lama lagi berhubung mekanisme penetapan harga mingguan petrol dan diesel.

Ini kerana pengusaha stesen minyak menghadapi tekanan apabila harga minyak mencatatkan penurunan berterusan sejak beberapa minggu sebelum ini.

“Kita akan tentukan kaedah ini dapat membantu rakyat dan serentak itu menunjukkan industri berkenaan boleh diliberalkan dan mungkin pada masa depan, kita akan lakukan (penetapan harga) secara harian,” katanya.

https://www.youtube.com/watch?v=P5IFvfhxZws