Khalid akui wujud budaya rasuah dalam polis, tetapi…

khalid-abu-bakar2KUALA LUMPUR: Tan Sri Khalid Abu Bakar mengakui ada anggotanya yang meminta rasuah daripada orang awam dan warga asing, termasuk pelajar antarabangsa.

Bagaimanapun, ketua polis negara itu berkata, pihaknya sentiasa berusaha menangani budaya itu, termasuk mengambil tindakan tegas terhadap anggota yang didapati berbuat demikian.

“Rasuah di kalangan warga PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan pelajar asing ini, saya tidak nafi ia berlaku. Memang saya tahu perkara ini wujud.

“Saya sebut tadi, rasuah bukan hal mudah diatasi, tetapi percayalah kita akan sentiasa mengambil langkah yang patut untuk mengatasinya,” katanya menjawab soalan hadirin pada program syarahan perdana dan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara PDRM dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di kampus UTM Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam sesi soal jawab, seorang hadirin yang dikenali sebagai Norizan berkata, kajian PhD beliau mendapati kebanyakan pelajar antarabangsa yang ditemuinya mempunyai pandangan negatif terhadap polis.

“Antara komen paling lazim mereka ialah pengalaman memberi rasuah, (daripada) RM5, RM10 kepada RM1,000 dan RM2,000. Mereka ada (pandangan) negatif terhadap PDRM,” katanya.

Pada masa sama, Khalid menceritakan pengalamannya berjaya mengesan 3 polis peronda melakukan pemeriksaan ke atas seorang pendatang asing wanita di sebuah bulatan di Semenyih, tanpa kebenaran.

Pada 29 Jun lalu, akhbar China Press melaporkan Khalid mengarahkan 3 anggota itu menghentikan pemeriksaan yang melanggar prosedur operasi standard (SOP), di mana mereka sepatutnya memfokuskan tugas meronda.

Khalid kemudiannya menghubungi pegawai atasan 3 anggota berpangkat lans koperal dan konstabel itu serta mengarahkan tindakan disiplin diambil terhadap mereka, iaitu melakukan kawad senjata selama 2 jam, sebelum dipindahkan menjaga kaunter pertanyaan selama sebulan.

Mengulas lanjut, Khalid hari ini berkata, polis peronda hanya boleh melakukan pemeriksaan ke atas pendatang asing dengan kehadiran pegawai kanan.

“Memang kita telah mengeluarkan arahan polis meronda tidak dibenarkan memeriksa warga asing secara rawak. Pemeriksaan perlu dilakukan secara terancang dengan kehadiran pegawai kanan. Ini antara langkah yang kita ambil (untuk atasi isu rasuah polis),” katanya.

 

3 polis dipindahkan selepas kena ‘tangkap basah’ dengan KPN