KPN: Siasatan kes ‘money game’ rumit, ambil masa

khalid-abu-bakar_jjptr_600

KUALA LUMPUR: Siasatan kes “money game” seperti JJ Poor to Rich (JJPTR) mengambil masa kerana rumit dan melibatkan banyak perkara, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Polis bekerjasama rapat dengan Bank Negara Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk memudahkan siasatan ke atas kes rumit itu.

“Kita perlu memeriksa timbunan dokumen, akaun. Jadi kita perlu diberi masa untuk meneliti struktur ‘money game’ bagi mengenalpasti kesalahan yang ada,” katanya pada sidang media selepas majlis syarahan dan menandatangi memorandum antara polis dan Universiti teknologi Malaysia (UTM) di ibu negara hari ini.

Antara cabaran yang merumitkan siasatan ialah kebanyakan laporan polis terhadap JJPTR dibuat di China oleh warganegara China.

“Tetapi kita sedang bekerja keras sekarang. Ramai pegawai di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) ditugaskan untuk melihat isu ini,” katanya.

Skim JJPTR yang melibatkan pelaburan perdagangan mata wang asing mendapat perhatian meluas selepas 400,000, termasuk 100,000 warga asing, disyaki ditipu membuat pelaburan berjumlah RM1.7 bilion.

Pada 12 Mei lalu, JSJK Bukit Aman dan polis Pulau Pinang bersama-sama beberapa badan antaranya BNM, pasukan siasatan Pengubahan Wang Haram (AMLA) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia menyerbu 8 lokasi di negeri itu yang dipercayai menjadi pejabat operasi JJPTR, serta menahan 19 individu terdiri daripada 15 pekerja dan 4 pelabur.

Khalid menasihatkan semua pihak agar berhati-hati dengan mana-mana pihak yang menawarkan pelaburan dengan tawaran pulangan yang melampau.

“Jika ada tawaran pelaburan dengan pulangan melebihi 15% setahun, kita perlu soal. Jika keuntungan 20% sebulan pula, apa punyai peniaga ini? Mesti ada yang tidak betul,” katanya.

Selain JJPTR, skim seumpamanya yang dalam siasatan adalah Monspace, yang menjanjikan keuntungan 500% dalam masa 6 bulan. Monspace sudah disenaraikan BNM sebagai syarikat yang tidak dibenarkan memungut wang di Malaysia.