Lapor sebelum bergaduh, kata Muhyiddin kepada pimpinan PPBM

muhyiden-hamidah-syed-saddiq2KUALA LUMPUR: PPBM mungkin diambang pergaduhan dalaman antara Naib Presiden Hamidah Osman dan Ketua Pemuda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang nampaknya saling menembak kritikan terhadap satu sama lain.

Bagaimanapun, Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sekiranya laporan perlu dibuat terlebih dahulu sekiranya mereka mahu berperang sekalipun.

“Mana-mana pihak yang ada masalah dengan pihak yang didakwa melakukan kesalahan disiplin perlu membuat laporan bertulis,” kata bekas timbalan perdana menteri itu.

“Kita tidak boleh bergantung kepada khabar angin jika kita mahu berlaku adil. Kita tidak boleh saling memfitnah.

“Sebarang dakwaan mesti sokong fakta dan bukti sebelum ia dirujuk ke lembaga disiplin,” katanya kepada pemberita di suatu majlis di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas permintaan Hamidah supaya Syed Saddiq disiasat lembaga disiplin parti selepas ketua pemuda itu menuduhnya mendalangi peletakan jawatan lebih 1,000 ahli PPBM Perak.

Syed Saddiq mendakwa Hamidah, yang pernah mengetuai Wanita Umno Gopeng, seorang hipokrit yang kecewa Muhyiddin tidak menamakannya pengerusi negeri Perak.

“Saya tahu dia (Hamidah) punca keadaan ini. Saya akan berkata secara terus terang: Saya mahu Hamidah letak jawatan. Jika anda masuk parti untuk jawatan, sila berambus,” kata Syed Saddiq kepada FMT 28 Mei lalu.

Pada 4 Julai, Hamidah berkata beliau akan menulis kepada lembaga disiplin PPBM, menyeru tindakan diambil terhadap Syed Saddiq, yang menurutnya membuat tuduhan tidak berasas terhadapnya.

Syed Saddiq bagaimanapun memberitahu FMT beliau mempunyai bukti menyokong dakwaannya, yang akan diserahkan kepada lembaga disiplin jika dipanggil.

“Dalam keadaan seperti ini, kita mahu mereka mengikut prosedur sewajarnya, supaya mereka yang dituduh melakukan kesalahan disiplin diberi peluang untuk membela diri,” kata Muhyiddin.

“Kita tidak mahu kenyataan dibuat kepada media. Mesti ada laporan rasmi berserta bukti,” tambahnya.