Agak pelik, kata Guan Eng mengenai JPPM

limguaneng-ros2GEORGE TOWN: Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menyifatkan pengumuman Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) yang pemilihan semula parti itu pada 2013 tidak sah sebagai “pelik”.

Beliau menambah pengumuman mengejut itu “pasti memberi kesan kepada persediaan parti menghadapi pilihan raya”.

“Kami rasa pelik sedikit, kerana kita sudah menjalankan proses pemilihan semula pada 2013. Sudah 4 tahun berlalu tetapi mengapa sekarang?

“Kami mahu surat rasmi yang mungkin akan dihantar hari ini…ini perkara yang serius dan kami melihat perkara ini dengan serius.

“Kami mahu dengar pandangan anggota CEC…kami ada pelbagai pandangan tetapi tentunya kami terkejut dengan kenyataan JPPM hari ini,” katanya kepada pemberita di Majestic Theatre hari ini.

Lim berkata mesyuarat tergempar Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) – badan kepimpinan tertinggi parti – akan bersidang esok di ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur pada 2.00 petang untuk membincangkan perkara itu.

Beliau berkata sidang media akan diadakan pada 4.30 petang sejurus selepas mesyuarat, di mana mereka akan mengumumkan pendirian rasmi parti berkenaan hal itu.

Lim menambah DAP menunggu surat rasmi dari JPPM kerana tidak mahu bergantung kepada kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Petang tadi JPPM mengarahkan DAP mengadakan pemilihan semula CEC baharu selepas ia mendapati pemilihan semula DAP pada 29 September 2013 tidak sah dari segi undang-undang.

Ia susulan aduan daripada ahli DAP sendiri yang tidak berpuas hati dengan pemilihan semula 2013 itu.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pengarah JPPM Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata bersabit aduan itu, JPPM berpendirian bahawa pelantikan anggota CEC serta pemegang jawatan utama melalui pemilihan semula ini, adalah tidak sah.”

“Pemilihan semula yang diadakan tersebut sepatutnya berdasarkan senarai nama perwakilan yang berhak hadir dan mengundi pada pemilihan CEC bertarikh 15 Disember 2012, iaitu melibatkan 2576 perwakilan dari 865 buah cawangan,” katanya.

Beliau menambah JPPM menganggap DAP sebuah parti yang sah di sisi undang-undang dan setakat ini tidak berniat sama sekali untuk membatalkan parti itu.