Menteri kesihatan sahkan 1 kes JE di Sarawak

Subramaniam_je_virus_600

KUALA LUMPUR: Jabatan Kesihatan Sarawak mengambil langkah menyekat penularan penyakit Japanese Encephalitis (JE) di negeri itu, kata Datuk Seri Dr S Subramaniam.

Menteri kesihatan itu berkata demikian ketika mengesahkan laporan yang tersebar di media sosial semalam, ada 1 kes jangkitan JE di Kota Samarahan, bulan lalu.

“Kami baru terima laporan tentang perkara itu semalam dan mengambil langkah mengawalnya. Jabatan Kesihatan Sarawak mengambil langkah sewajarnya.

“Tetapi, sebelum ini sudah ada kes JE di Sarawak…Ia sesuatu yang berlaku dari masa ke masa kerana gaya hidup penduduk di sana,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Simposium Kesakitan Pediatrik ke-11 hari ini.

JE ialah penyakit terbaru menular di Sarawak selepas penyakit anjing gila atau rabies mengorbankan 2 beradik di negeri itu, Selasa lalu.

Semalam, posting mengenai seorang kanak-kanak lelaki berusia 7 tahun yang dijangkiti JE dan dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak pada 23 Jun lalu tersebar di media sosial.

Ia turut melampirkan notis Pejabat Kesihatan Samarahan kepada sebuah sekolah kebangsaan di Kota Samarahan memaklumkan kes JE dikesan di Taman Sentoria.

Susulan itu, aktiviti kawalan virus dalam radius 2km dari rumah kanak-kanak itu dijalankan mulai 24 Jun hingga 8 Julai ini. Saringan status pemvaksinan ke atas mereka berusia 15 tahun ke bawah akan dilakukan.

Dr Subramaniam berkata, kementeriannya akan terus mengambil pendekatan berjaga-jaga dan memaklumkan perkembangan terkini kepada orang ramai.

“Kita akan memaklumkan isu ini, sama ada wujud kes baru atau ia ‘diasingkan’ kepada 1 kes sahaja.”

https://youtu.be/l2dUP2OiqEI