Najib: Dr M sokong Anwar kerana siasatan skandal forex

najib mahathirPETALING JAYA: Datuk Seri Najib Razak berkata sokongan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri didorong oleh rasa khuatir akan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ke atas kerugian yang ditanggung Bank Negara Malaysia akibat dagangan mata wang asing 1990-an.

Sambil mengatakan kerugian berlaku ketika Dr Mahathir mentadbir negara ini, Najib mendakwa “pusingan U” pengerusi PPBM kali ini tidak seperti yang disangkakan.

“Sokongan itu terbit selepas 20 tahun Dr Mahathir mencerca Anwar dan menggunakan apa sahaja cara untuk menyingkirkan dia dari proses politik, termasuk menangkapnya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri, yang kini sudah dimansuhkan, mendakwa dan memenjarakan dia dan kempen menyerang akhlaknya.

“Bagaimanapun, seperti yang Dr Mahathir tahu, Anwar tidak boleh bertanding, jadi pusingan U ini bukan mengenai pilihan raya umum akan datang.

“Dr Mahathir tahu dapatan RCI boleh membawa kepada pendakwaan jenayah, jadi dia khuatir individu yang berkaitan dengan kes ini, seperti Anwar, memberi keterangan menentangnya,” kata perdana menteri dalam kenyataan hari ini.

Dr Mahathir, yang merupakan perdana menteri dari 1981 hingga 2003, semalam dilaporkan akhbar Britain, The Guardian, sebagai berkata Anwar perlu dibebaskan dari penajra dan dibenarkan bertanding dalam pilihan raya.

Beliau berkata Anwar “mangsa dendam politik” dan “diperlakukan secara tidak adil”.

“Keputusan mahkamah jelas dipengaruhi pemerintah dan saya fikir kerajaan akan datang boleh meyakinkan Agong untuk mengampunkan Anwar.

“Jika begitu beliau boleh melibatkan diri dalam politik dan menjadi perdana menteri. Saya tidak akan menolaknya,” kata Mahathir menurut laporan itu.

Najib berkata perkembangan ini ironik kerana Dr Mahathir kini memerlukan Anwar, “orang yang beliau pecat dan penjarakan”.

Beliau mendakwa Dr Mahathir “obses” untuk “menyelamatkan legasi keluarganya” dan menjadikan anaknya, Datuk Seri Mukhriz, perdana menteri.

“Dia tiada prinsip dan akan melakukan apa sahaja,” katanya.

Beliau menambah Dr Mahathir, selaku pengerusi PPBM, hanya mempunyai 1 kerusi Parlimen dan tidak boleh tentukan siapa jadi perdana menteri.

“Ia akan jadi sama sekali tidak demokratik.

“Dr Mahathir tuntut Tun Abdullah Ahmad Badawi letak jawatan perdana menteri, sekarang mahu saya letak jawatan, dan kemudian akan tuntut pengganti saya bersara sehinggalah anaknya jadi perdana menteri – walau apapun kesannya pada Malaysia,” katanya.