PRU14 tentang orang Melayu, kata Zaid

Zaid-IbrahimKUALA LUMPUR: Pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang sebenarnya mengenai orang Melayu dan pemikiran mereka, kata bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim.

Dalam catatan terbaru blognya, Zaid berkata keputusan PRU14 akan menunjukkan betapa orang Melayu terjebak dalam mentaliti feudal melindungi pemimpin walau apapun berlaku.

Mengambil kata-kata Sasterawan Negara A Samad Said di Pulau Pinang bahawa orang Melayu tidak melihat kebenaran sebagai sesuatu yang perlu dipertahankan demi kebenaran, Zaid membezakan antara kebenaran dan “kebenaran” yang “molek”.

“Kebenaran” yang molek itu hanya untuk kepentingan sendiri, jelas Zaid, yang mengeluh sejumlah besar orang Melayu sekarang memihak kepada jenis “molek”.

Beliau berkata: “Orang Melayu seperti itu sedia mengecilkan 1 set kebenaran untuk set yang molek – molek untuk mereka. Mempertahankan pemimpin politik dan agama walau apapun berlaku ialah ‘kebenaran’ yang molek.

“Sebab itulah mereka menganggap perkara itu sebahagian tanggungjawab dan tiada kaitan dengan kebenaran hakiki dan tidak timbul rasa tanggungjawab atau maruah. Mereka melakukannya untuk ganjaran kebendaan.”

Ahli DAP itu berkata sikap itu mengimbau sistem feudal dahulu kala di mana pemimpin sentiasa memberi ganjaran kepada pengikut setia.

“Pertumbuhan golongan ‘hamba raja’ (pelindung pihak berkuasa) yang diriwayatkan oleh Munshi Abdullah dalam kerajaan Melayu awal kini tersebar luas. ‘Hamba raja’ masih wujud sehingga hari ini dan diperkuatkan lagi dengan penyertaan parti bukan Melayu dan ulama dalam golongan itu.

“Amalan itu digilap Perdana Menteri Najib Razak yang mengambil kesempatan dari nilai masyarakat feudal serta ajaran agama, yang malangnya gagal diubah atau diganti sistem pendidikan ‘progresif’ kita.”

Beliau berkata “hamba raja” diberi ganjaran kerana secara beramai-ramai menyerang pengkritik dan mempertahankan pemimpin mereka.

Sebab itulah, beliau mendakwa ada orang yang begitu tangkas mempertahankan pemimpin mereka walaupun mereka tahu “fakta” dan “kebenaran” isu berbangkit.

Beliau mendakwa mereka yang mempunyau pemikiran sebegitu ialah mereka yang mempertahankan Najib apabila Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) mendedahkan wang disalurkan dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB) digunakan oleh Jho Low dan beberapa individu lain untuk membeli aset dan hadiah.

“Bukannya mereka tidak nampak atau tidak tahu ‘fakta’ atau ‘kebenaran’ perkara tersebut. Mereka tahu. Mereka pasti tahu bagaimana untuk membaca dan memahami laporan itu tetapi mereka masih mempertahankan perdana menteri walaupun ia kelihatan seperti orang bodoh.”

Apabila ditanya apa kesannya pada PRU-14, Zaid menjawab: “Senang sahaja, jika kita mempunyai lebih ramai ‘hamba raja’ daripada orang Melayu yang baik, maka Barisan Nasional akan menang lagi.

“Bagaimanapun, jika ‘hamba raja’ kurang di negeri Semenanjung, maka pembangkang mempunyai peluang yang baik.”

“Ini bermakna, pilihan raya akan datang lebih banyak mengenai orang Melayu daripada gabungan semua isu lain.”