SPRM tahan pegawai kastam minta rasuah lebih RM40,000

macc-sprm-arrestPETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pegawai kastam dipercayai meminta rasuah bagi memudahkan proses pengeksportan bahan “piping & associated facilities” ke luar negara oleh sebuah syarikat.

SPRM dalam kenyataan hari ini berkata suspek yang berusia 53 tahun ditahan di hentian bas di Bintulu, Sarawak semalam.

Menurut sumber, perbuatan suspek terbongkar sejurus orang awam membuat laporan lelaki terbabit meminta wang ribuan ringgit untuk proses melepaskan barangan eksport.

“SPRM bertemu dengan wakil syarikat berkenaan untuk mendapatkan maklumat dan mendapati suspek meminta USD10,000 (RM42,975) bagi memudahkan pengeksportan bahan tersebut.

“Berikutan itu, SPRM bekerjasama dengan syarikat berkenaan untuk memerangkap suspek dan dia berjaya diberkas bersama wang tunai tersebut,” katanya.

Dalam operasi itu, SPRM turut merampas 2 telefon bimbit dipercayai digunakan dalam urusniaga berkenaan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata maklumat orang awam membawa kepada penahanan suspek.

“Kita akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang didapati terlibat rasuah dan salah guna kuasa dalam isu ini,” tegas beliau.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan lebih ramai akan dipanggil sekiranya perlu bagi membantu siasatan.

Sumber juga berkata suspek kini direman sehingga 12 Julai mengikut Seksyen 117 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Bintulu.