TLDM: Kapal dibeli dari China berkualiti tinggi

Littoral-Mission-ShipsKUALA LUMPUR: Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menolak dakwaan kapal misi pesisir – Littoral Mission Ship (LMS) yang dibeli dari China berkualiti rendah, sebaliknya aset pertahanan baharu itu berkualiti tinggi dan sesuai untuk misi mencabar.

“Tidak ada isu, sebab kualiti kapal LMS kita yang tetapkan, bukan mereka (China). Kapal yang kita guna ini kita telah tetapkan mengikut garis panduan antarabangsa.

“Sebab itu kita menghantar pegawai kita ke China bertujuan memastikan kualiti yang kita tetapkan dalam kontrak perjanjian pembelian diikuti dan ditepati 100% oleh pihak China,” kata Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin selepas majlis ramah mesra bersama pasukan projek LMS di KD Sri Gombak, hari ini.

Pasukan projek LMS yang terdiri daripada 7 pegawai dan 5 anggota akan bertolak ke China esok untuk memantau dan meneliti pembinaan kapal itu selama 37 bulan.

Awal bulan lalu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dilaporkan berkata, pembelian kapal misi pesisir LMS dari China amat penting untuk memperkukuhkan keselamatan di kawasan perairan negara, selain memenuhi keperluan TLDM dalam menjalankan misi mencabar.

Katanya, pembelian aset pertahanan baharu itu juga bertujuan menggantikan aset usang TLDM, sekaligus mengurangkan kos operasi yang semakin meningkat.

Mengulas lanjut, Kamarulzaman berkata, pihak Malaysia akan membeli 18 kapal LMS secara berperingkat, dengan 4 daripadanya akan diserahkan dalam fasa pertama, mulai 2019 hingga 2021.

Katanya, kapal LMS juga boleh digunakan secara fleksibel mengikut kesesuaian operasi, termasuk bagi tujuan pertempuran.

“Kapal LMS ini, kalau kita ikut dari segi reka bentuknya, dia boleh diubah suai mengikut keupayaan dan keperluan di masa akan datang. Untuk masa ini, tugasnya hanya melaksanakan pengawasan sempadan maritim dan kapal ini juga boleh diletakkan peluru berpandu dan boleh dijadikan kapal perang.

“Kapal LMS ini juga tidak memerlukan pembiayaan tinggi seperti Littoral Combat Ship (LCS) atau kapal perang. LMS ini boleh memenuhi 80% keupayaan LCS dan kos operasinya juga lebih rendah,” katanya sambil memaklumkan ia merupakan projek pertama bersama tentera China.