Undang-undang mana larang pengkritik keluar negara, soal peguam

Eric-PaulsenPETALING JAYA: Seorang peguam mempertikaikan undang-undang mana digunakan untuk menghalang pengkritik kerajaan keluar negara.

Eric Paulsen berkata tindakan terhadap pengkritik nampaknya tidak berpandukan peruntukan yang jelas, tidak seperti dalam kes gagal membayar cukai atau pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Sebagai contoh, larangan terhadap Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua dan Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah. Kita tidak tahu peruntukan mana sebab tidak ada peruntukan khas.

“Saya rasa perlu ada peruntukan yang jelas sebelum undang-undang digunakan sewenang-wenangnya…Ia seharusnya tidak dijadikan seperti senjata. Jangan guna undang-undang untuk memeras orang,” katanya ketika dihubungi FMT.

Beliau menambah kepada kenyataan Ketua Pengarah Kastam Datuk Subromaniam Tholasy yang menyatakan peniaga yang liat membayar GST tidak dibenarkan keluar negara, selain mereka yang gagal membayar cukai pendapatan dan syarikat dan pinjaman PTPTN.

Nanyang Siang Pau memetik beliau sebagai berkata seramai 7,143 majikan dan pengarah syarikat termasuk dalam senarai sekatan kerana mempunyai tunggakan GST.

Eric berkata kegagalan membayar cukai dan pinjaman PTPTN mempunyai peruntukan tertentu yang jelas, tetapi tindakan terhadap Tony Pua dan Maria Chin nampak bermotifkan politik.

Berkenaan larangan keluar negara terhadap peniaga yang liat membayar GST, Eric Paulsen menyifatkan ia sebagai “agak drastik”.

“Sebelum nak ambil tindakan drastik, mesti ada proses di mana anda ada memberi beberapa peluang atau amaran kepada pihak terbabit untuk menjelaskan jumlah yang berhak kepada kerajaan,” katanya.