Wong Chen: Isu audit boleh jejas peluang PKR pada PRU14

Wong-ChenSUBANG JAYA: Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen bimbang isu kerajaan Selangor membekukan peruntukan untuk kawasannya akan menjejaskan peluang PKR mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Beliau berkata, Kelana Jaya antara kerusi paling selamat buat PKR, tetapi peluang beliau dan parti itu boleh terjejas jika isu berkenaan tidak diselesaikan.

“Ahli Parlimen terdahulu memenangi kerusi ini dengan majoriti 5,000 undi. Apabila saya bertanding (pada 2013), saya meraih majoriti 26,000 undi.

“Tetapi, jika wujud skandal di pejabat saya, ia akan menjejaskan saya dan peluang PKR pada PRU14,” katanya pada sidang media di pejabatnya hari ini.

Peruntukan perbelanjaan komuniti Wong dibekukan sejak tahun lalu, selepas audit negeri mendapati pejabatnya tidak membelanjakan secukupnya dana Mesra Rakyat sebanyak RM250,000 yang diberikan kepadanya setiap tahun.

Wong menjelaskan dana yang sepatutnya digunakan untuk projek kecil dan acara sosial itu, dijadikan bantuan kebajikan buat penduduk miskin di kawasannya.

Beliau turut mendakwa pengauditan dilakukan tanpa melalui proses sewajarnya dan juruaudit tidak memaklumkan beliau pejabatnya diaudit atau mendapatkan penjelasan atau dokumen asal dari pejabatnya.

“Untuk membuat spekulasi siapa yang memberikan arahan itu (membekukan akaun kebajikannya) bukan kepentingan saya atau pembangkang secara keseluruhannya kerana kita akan menghadapi PRU tidak lama lagi.

“Tetapi, saya perlu membersihkan nama pejabat saya kerana perkara ini sudah berlarutan selama 5 bulan. Kerajaan saya sendiri tolonglah buat sesuatu dengan baik.

“Walaupun kami kata tiada campur tangan politik, akan timbul masalah politik akibat isu ini. Jadi, saya perlu membersihkan nama saya segera,” katanya.

Wong berkata, kira-kira 400 keluarga miskin yang menerima bantuan kebajikan tahunan disediakan pejabatnya, terjejas akibat tindakan perbendaharaan negeri.

“Mereka terdiri daripada ibu tunggal dan warga emas ditinggalkan dari kawasan Desa Mentari.

“Apabila mereka membekukan akaun saya tanpa sebarang penjelasan, ia menjejaskan orang miskin di kawasan saya yang mengharapkan bantuan kebajikan ini.”

 

Azmin akan faham jika berada di tempat saya, kata Wong Chen