100 pelabur hilang RM70 juta, dakwa ditipu syarikat telefon bimbit

100-pelabur-hilang-RM70-jutaKUALA LUMPUR: Sekumpulan kira-kira 100 orang hilang wang pelaburan sebanyak RM70 juta berikutan penglibatan mereka dalam apa yang mereka dakwa sekarang sebagai satu penipuan bisnes syarikat telekomunikasi.

Seorang wanita yang hanya dikenali sebagai Maria dikatakan mendekati bakal pelabur dengan mendakwa dia memiliki sebuah syarikat perdagangan telefon bimbit dan kekurangan modal.

Jeff, seorang jurucakap bagi pelabur yang ditipu berkata, Maria juga memberitahu pelabur terbabit yang dia akan membayar balik mereka dengan tambahan 15% bagi setiap urus niaga.

“Dia menghampiri kami kononnya memerlukan modal kerana dia tidak mahu mengambil pinjaman bank dengan kadar faedah yang tinggi.

“Dia juga menunjukkan kepada kami kontrak yang dimilikinya dengan syarikat-syarikat besar seperti Brightstar, dan kami telah mengesahkan kesahihan kontrak,” kata Jeff pada sidang akhbar yang turut dihadiri Ahli Parlimen Segambut dari DAP, Lim Lip Eng di sini hari ini.

Menurut Jeff, setiap kali dia menghubungi Maria untuk bertanya mengenai pulangan pelaburan mereka, dia akan menerima surat daripada peguam Maria yang memberi jaminan mereka akan menerima wang masing-masing.

Beliau berkata, para pelabur menerima beberapa pulangan kira-kira 18 bulan yang lalu tetapi tidak dibayar sejak itu.

Mendesak Maria menyelesaikan masalah itu dengan para pelabur, Lip Eng berkata beliau memberi tempoh 2 minggu untuk wanita itu tampil menawarkan penyelesaian, wakil rakyat itu akan memfailkan laporan polis dan juga membuat aduan rasmi di Bank Negara Malaysia (BNM).

Beliau menambah, mana-mana orang yang mengumpul dana sebagai modal pelaburan perlu mendapatkan permit daripada BNM.

Terdapat 10 laporan polis yang difailkan terhadap Maria dan pelabur kini sedang mempertimbangkan mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.

* Ivy Chong menyumbang kepada artikel ini.