Ahli Umno perlu elak krisis 2 tahun lalu, kata Hisham

hishammuddin-hussein_umno_600

KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Umno diingatkan tidak mengulangi kesilapan yang boleh menimbulkan krisis dalam parti seperti 2 tahun lalu.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, peristiwa di mana beberapa pemimpin dan anggota Umno dipecat dan keluar daripada parti perlu menjadi iktibar kepada semua anggota parti keramat itu.

“Jika kita ingat 2 tahun lalu, perjalanan parti bukan mudah. Sudah bernafas selesa sikit kita diduga termasuk timbalan presiden tinggalkan parti.

“Anggota kita keliru mahu pilih kawan ataupun parti, tetapi kekeliruan, kegusaran dan ketidaktentuan itu sudah berlalu, nyata anggota meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan individu,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita Umno Bahagian Kepong, di sini malam tadi.

Hishammuddin berkata, beliau agak lega apabila ‘mood’ mesyuarat perwakilan tahun ini lebih tenang apabila segala kekeliruan dapat dijelaskan kepada akar umbi.

Katanya ‘mood’ ini merupakan petanda baik membolehkan anggota Umno fokus pada gerak kerja pilihanraya umum (PRU) yang akan datang bagi memastikan kemenangan tetap berpihak pada Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, beliau menegaskan sokongan anggota sahaja tidak menjamin kemenangan malah perlu berusaha terus meraih sokongan rakyat.

“Seronok kita-kita sahaja bukan jaminan kita boleh menang. Dengan kelebihan ‘mood yang ada kini bukan hanya berkisar pada kemenangan tetapi isyarat memenangi hati pengundi,” katanya.