DAP: Kami mahu temu JPPM, soal pemilihan baharu tak timbul

dap-statementPETALING JAYA: DAP yang mengadakan mesyuarat khas hari ini susulan arahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) semalam menegaskan “persoalan mengadakan pemilihan semula yang baharu tidak timbul”.

Dalam kenyataan dikeluarkan petang ini, DAP berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan JPPM sebaik sahaja pihaknya menerima surat daripada JPPM untuk mendapatkan penjelasan berkenaan dengan keputusan yang dinyatakan dalam kenyataan akhbar semalam.

“DAP dengan tegas memutuskan pemilihan semula telah diadakan mengikut arahan mereka dalam surat bertarikh 30 Julai 2013. Oleh itu persoalan mengadakan pemilihan semula yang baharu tidak timbul.

“Walau bagaimanapun, kami bersedia untuk bertemu dengan JPPM untuk membincangkan perkara itu dengan lebih lanjut.”

Pada sidang media hari ini, Setiausaha Agung Lim Guan Eng tidak menolak tindakan JPPM bermotifkan politik serta mahu mensabotaj DAP dalam membuat persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14.

“Membuat kenyataan itu 4 tahun kemudian bertujuan untuk melumpuhkan pentadbiran parti kami dan menjejaskan persiapan kami untuk PRU14,” katanya.

Semalam, Ketua Pengarah JPPM Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata, pelantikan 20 anggota CEC DAP serta pemegang jawatan utama hasil pemilihan semula yang diadakan pada 29 September 2013 adalah tidak sah dari segi undang-undang.

Pemilihan semula yang diadakan itu sepatutnya berdasarkan kepada senarai nama perwakilan yang berhak hadir dan mengundi pada pemilihan CEC DAP bertarikh 15 Disember 2012 iaitu yang melibatkan 2,576 perwakilan dari 865 buah cawangan.

Ini kerana hanya anggota CEC yang sah dan diiktiraf sahaja boleh melantik pemegang jawatan utama yang sah dan diiktiraf mengikut Akta Pertubuhan 1966 dan Perlembagaan Parti DAP.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/07/07/jabatan-pendaftaran-arah-dap-adakan-pemilihan-semula/