DAP tidak boleh buat keputusan selagi belum terima surat rasmi, kata Gobind

Gobind-Singh-Deo-dap1KUALA LUMPUR: DAP tidak boleh membuat keputusan sehingga menerima surat rasmi Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM), kata Pengerusi Biro Undang-Undang Gobind Singh Deo.

Gobind berkata JPPM sepatutnya menghantar surat rasmi kepada mereka, bukannya mengeluarkan kenyataan terbuka.

“Tanpa surat itu, kita tidak dapat pastikan perincian surat itu. Kami harap surat dihantar secepat mungkin, supaya kita boleh bertemu JPPM dan buat keputusan selepas itu,” katanya pada sidang media hari ini.

Terdahulu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengumumkan parti tidak akan mengadakan pemilihan baharu, tetapi mahu bertemu JPPM berikutan arahan jabatan itu.

Gobind berkata selepas pemilihan semula 2013, DAP sudah menghantar laporan terperinci mengenai perwakilan dan keputusan pemilihan CEC kepada JPPM.

Beliau berkata JPPM menulis semula kepada DAP selepas memutuskan pemilihan semula CEC pada 29 September 2013 itu tidak sah di segi undang-undang.

“Sebab itu kita bawa mereka ke mahkamah, kerana setakat yang kita tahu sebuah persatuan perlu mengadakan pemilihan mengikut prlembagaan.

“Bila-bila masa sesebuah parti mengadakan pemilihan semula, parti itu mempunyai kewajipan untuk melapor hasil pemilihan itu kepada JPPM,” katanya.

Gobind berkata selepas pemilihan selesai, anggapannya ialah pentadbiran parti akan terus beroperasi sehingga JPPM membuat keputusan sebaliknya.

Semalam, JPPM dalam kenyataan berkata pemilihan semula CEC 29 September 2013 itu sepatutnya berdasarkan senarai nama perwakilan yang berhak hadir dan mengundi pada pemilihan CEC 15 Disember 2012.

Pada 17 April 2013, 3 minggu sebelum pilihan raya umum ke-13 (PRU13) pada 5 Mei, JPPM menghantar sepucuk surat kepada DAP menyatakan CEC baharu parti itu tidak diiktiraf disebabkan pertikaian berhubung pemilihan parti.

Bagaimanapun, JPPM mengeluarkan sepucuk lagi surat pada 19 April memaklumkan parti itu dibenar menggunakan logo roketnya pada PRU.

Pada 22 Januari 2014, Guan Eng memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi pihak parti itu dengan menyatakan JPPM tiada kuasa di bawah Akta Pertubuhan 1966 untuk menafikan pengiktirafan CEC yang dipilih semula pada 29 September 2013.

DAP menarik balik permohonan itu pada 23 September 2014, susulan pengiktirafan JPPM terhadap CEC dipilih semula itu dan pendiriannya yang kenyataan berhubung perkara itu sekadar nasihat dan tidak sah.

“Empat tahun kemudian JPPM beritahu kami tidak menggunakan senarai perwakilan yang betul. Laporan yang kami hantar kepada mereka pada 8 November 2013 berserta dengan senarai perwakilan. Bahkan, kita akan tahu jumlah sebenar perwakilan berdasarkan kepada laporan keputusan pemilihan itu.”

“Sebab itu kita mahu temui mereka,” kata Gobind.