Dr Kamarul: Saya sebenarnya bantu DAP, tiada isu peribadi

Kamarul-Zaman-Yusoff_dap_600

PETALING JAYA: Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia Universiti Utara Malaysia, Dr Kamarul Yusoff yang menjadi fokus kecaman susulan tindakannya membuat laporan polis berhubung buku Hannah Yeoh berkata, beliau secara peribadi tiada ada isu ‘peribadi’ dengan parti itu walaupun sering melontarkan kritikan keras.

Kata Kamarul, kritikannya terhadap DAP secara tidak langsung membantu parti itu memperoleh kepercayaan rakyat bahkan menyatakan akan memujinya jika lakukan perkara benar.

“Apa yang saya dan rakan-rakan lakukan pada masa sama adalah untuk menolong DAP. Ada yang saya sokong, namun harus lihat kepada isu tertentu,” katanya kepada pemberita selepas forum Bicara Cendekiawan Malaysia bertajuk “Cabaran Agenda Umat Islam Malaysia”, malam tadi.

Kata Kamarul, secara umumnya beliau tidak bersetuju dengan perlembagaan parti DAP yang seolah-olah tidak mengiktiraf agama Islam sebagai agama rasmi dan beberapa perkara.

“Apa masalahnya hendak masukkan pengiktirafan agama Islam sebagai agama Persekutuan, iktiraf hak istimewa bangsa Melayu dan Bumiputera serta iktiraf kedudukan raja-raja Melayu dalam perlembagaan parti,” katanya.

Sebelum ini, Kamarul menjadi perhatian apabila mendakwa buku tulisan Yeoh, Speaker DUN Selangor bertajuk ‘Becoming Hannah: A Personal Journey’ adalah cubaan mempengaruhi rakyat Malaysia kepada agama Kristian.

Kamarul berkata, buku terbitan Hannah Yeoh cuba memujuk, mempengaruhi atau menghasut orang bukan Kristian supaya menjadi penganut atau cenderong kepada ajaran Kristian berdasarkan petikan dari Bible.

Kenyataan Kamarul itu menyebabkan beliau dikecam pelbagai pihak dan beberapa laporan polis termasuk yang dilakukan Hannah Yeoh dibuat terhadapnya.

Di forum berkenaan, Kamarul akui tidak mempunyai kenalan atau rakan rapat dari parti DAP berbanding mempunyai rakan dari parti Amanah, PAS dan Umno.

“Bila tidak kenal, mungkin nampak agak keras (kenyataan) sikit,” katanya.

Sementara itu, sewaktu berucap di dalam forum Kamarul memberitahu bahawa parti MCA, MIC dan Gerakan dilihat lebih memahami dan menghormati Perlembagaan Malaysia berbanding DAP.

“Saya kaji perlembagaan parti MCA, MIC dan Gerakan. Dalam perlembagaan mereka dinyatakan untuk pertahankan atau menegakkan Perlembagaan Malaysia.

“Walaupun tidak dinyatakan secara khusus pertahankan hak Melayu dan Bumiputera, iktiraf kedudukan raja-raja Melayu tetapi apabila dinyatakan mahu pertahankan Perlembagaan Malaysia maka ia merangkumi semua,” katanya.

Pensyarah guna buku Hannah Yeoh jaja kebencian