Kaji semua opsyen sebelum tunduk arahan RoS, penganalisis nasihat DAP

Faisal-S-Hazis_dap_6004

PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik menasihatkan DAP agar meneroka semua pilihan yang ada sebelum meneruskan pemilihan baru jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) sebagaimana diarahkan oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS) semalam.

Syor itu dikemukakan susulan arahan RoS supaya DAP mengadakan pemilihan baru setelah memutuskan pemilihan semula diadakan pada 29 September 2013 tidak selari dengan undang-undang.

Bercakap kepada FMT, Profesor Faisal S Hazis dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, terdapat banyak sebab mengapa lebih baik bagi DAP untuk tidak mengadakan pemilihan semula.

“Mengadakan semula pemilihan bermakna DAP tunduk kepada tekanan RoS dan juga membuatnya kelihatan seolah-olah pihak itu secara tidak langsung mengakui apa yang dikatakan RoS adalah benar,” kata beliau.

Beliau juga menegaskan, mengadakan pemilihan parti begitu dekat dengan pilihan raya umum bukan amalan biasa untuk mana-mana parti politik.

“Anda akan tertarik dengan politik parti sedangkan fokus haruslah untuk mempertahankan kerusi anda.”

Kata beliau, menjadi amalan biasa bagi mana-mana parti politik untuk menangguhkan pemilihan parti apabila pilihan raya umum semakin dekat kerana mereka mahu mengelakkan perpecahan dalam parti menjelang pilihan raya umum.

Bagaimanapun beliau mengakui jika RoS mengeluarkan ultimatum, maka DAP tidak akan ada banyak pilihan.

“Jika enggan meneruskan pemilihan semula, ada kemungkinan parti itu akan dibatalkan pendaftaran, maka mereka perlu mempertimbangkannya.”

Faisal juga mempersoalkan masa RoS pilih untuk membuat pengumuman mengenai arahan kepada DAP.

“Ia menimbulkan persoalan integriti dan kebebasan RoS. Adalah malang masa keputusan itu dilihat seolah-olah RoS mahu mematahkan sayap DAP.”

Arahan RoS adalah susulan aduan dibuat ahli-ahli DAP yang tidak berpuas hati dengan pemilihan semula parti pada 2013.

Dalam kenyataan dikeluarkann semalam, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftar Pertubuhan, Mohammad Razin Abdullah berkata agensi itu perlu bertindak berdasarkan aduan tersebut.

“RoS percaya pelantikan anggota CEC serta pemegang jawatan utama melalui pemilihan semula itu adalah tidak sah.”

Beliau menambah, RoS menganggap DAP sebagai parti yang sah dan tidak mempunyai niat untuk membatalkan pendaftarannya setakat ini.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/07/07/jabatan-pendaftaran-arah-dap-adakan-pemilihan-semula/