MMA: Pesakit perlu sedar hak mereka bagi perkhidmatan bermutu

Dr-Ravindran-mma (1)

PETALING JAYA: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menasihatkan orang ramai supaya mengetahui hak mereka sebagai pesakit untuk mendapatkan rawatan yang adil di klinik-klinik swasta.

Saranan ini dibuat susulan kes seorang pesakit mendakwa dia ditolak sijil perubatan (MC) setelah enggan mengambil ubat dari doktor di sebuah klinik swasta di Subang Jaya.

Bercakap kepada FMT, pesakit yang hanya mahu dikenali sebagai Syafiqah berkata, dia menolak ubat selepas seorang sahabat yang datang bersamanya mengatakan dia mempunyai ubat berkenaan di rumah.

“Saya sepatutnya mengadakan persembahan pada keesokan hari tetapi saya mengalami kesakitan gastrik yang teruk, yang saya rasa saya akan menjadi lemah,” katanya.

“Itulah sebabnya saya memerlukan MC.”

Bagaimanapun, menurut Presiden MMA, Dr Ravindran R Naidu, keadaan itu tidak sepatutnya berlaku.

“MC hanya diberi jika anda sakit dan sepatutnya anda layak (untuk mendapatkan MC). Jadi jika pesakit tidak sihat, maka sudah tentu ubat akan diberikan,” katanya kepada FMT sambil menambah, pesakit berhak menolak ubat.

Apabila ditanya, Dr Ravindran berkata, tidak ada peruntukan yang memaksa doktor untuk memaklumkan caj mereka dengan jelas sebelum pesakit memutuskan bagi mendapatkan rawatan di mana-mana kemudahan penjagaan kesihatan.

Walau bagaimanapun menurut beliau, pesakit berhak meminta preskripsi daripada doktor supaya mereka boleh membeli ubat mereka dari farmasi.

Beliau juga berkata, terdapat beberapa jalan bagi pesakit untuk mengadu jika mereka mendapati doktor bertindak dengan cara yang tidak profesional.

“Kami ada jawatankuasa etika di MMA. Pesakit juga boleh mengadu kepada Majlis Perubatan Malaysia atau jabatan amalan Kementerian Kesihatan.

“Tindakan akan diambil terhadap doktor jika didapati dia telah melakukan sesuatu yang salah atau mengikut Akta Kemudahan Penjagaan dan Kesihatan Swasta.”

Dr Ravindran berkata, mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai hak mereka sebagai pesakit boleh merujuk kepada laman web rasmi Kementerian Kesihatan.