Peguam: DAP ada pilihan cabar arahan JPPM

R-Kengadharan-ros2PETALING JAYA: Kepimpinan DAP mempunyai pilihan untuk mengambil tindakan undang-undang mencabar arahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) supaya parti itu mengadakan pemilihan baharu, kata seorang peguam sivil.

R Kengadharan berkata parti itu boleh memfailkan semakan kehakiman kerana ia merupakan arahan pentadbiran pihak JPPM.

“Mereka mempunyai 90 hari sebaik menerima surat rasmi daripada JPPM untuk memfailkan saman itu,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, parti itu juga boleh memohon perintah tetap daripada mahkamah untuk menggantung arahan JPPM sebaik sahaja kebenaran untuk semakan kehakiman diperoleh.

Kengadharan berkata pilihan lain yang ada bagi parti itu adalah mengadakan pemilihan baharu untuk memilih ahli jawatankuasa eksekutif pusat (CEC).

“Tetapi itu akan dilihat sebagai pengakuan bersalah oleh pemegang jawatan sekarang,” katanya.

Semalam, Ketua Pengarah JPPM Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata, pelantikan 20 anggota CEC DAP serta pemegang jawatan utama hasil pemilihan semula yang diadakan pada 29 September 2013 adalah tidak sah dari segi undang-undang.

Pemilihan semula yang diadakan itu sepatutnya berdasarkan kepada senarai nama perwakilan yang berhak hadir dan mengundi pada pemilihan CEC DAP bertarikh 15 Disember 2012 iaitu yang melibatkan 2,576 perwakilan dari 865 buah cawangan.

Ini kerana hanya anggota CEC yang sah dan diiktiraf sahaja boleh melantik pemegang jawatan utama yang sah dan diiktiraf mengikut Akta Pertubuhan 1966 dan Perlembagaan Parti DAP.

Semalam, Setiausaha Agung parti, Lim Guan Eng mempersoalkan mengapa JPPM mengambil masa 4 tahun untuk memutuskan pemilihan semula DAP tidak sah.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/07/07/jabatan-pendaftaran-arah-dap-adakan-pemilihan-semula/