Dungun turut rekod kematian akibat hawar berdarah

hawar-berdarah-2

DUNGUN: Dungun menjadi daerah ke-4 di Terengganu yang merekodkan kematian haiwan ternakan akibat penyakit hawar berdarah selepas Marang, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu, Dr Mohd Termizi Ghazali berkata Kampung Padang Pulut di Dungun merekodkan kematian 38 lembu sejak 3 minggu lalu melibatkan 8 penternak.

“Kebanyakan mereka tidak menyedari haiwan ternakan mereka dijangkiti penyakit hawar berdarah, namun apabila kematian mula melibatkan jumlah yang banyak, mereka terus melaporkannya kepada kami.

“JPV akan terus memantau haiwan ternakan di kampung ini serta membuat pemvaksinan terhadap haiwan ternakan sekitar 5 kilometer radius dari Kampung Padang Pulut secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan penternak terlibat serta lawatan ke kandang haiwan yang dijangkiti penyakit itu di sini hari ini.

Sejak penyakit hawar berdarah melanda 3 daerah di Terengganu pada akhir Mei lalu, JPV telah merekodkan 354 kematian haiwan ternakan iaitu 298 lembu dan 56 kerbau.

Bagaimanapun, situasi wabak di 3 daerah itu semakin baik dengan kematian terakhir direkodkan di Kuala Nerus ialah pada 11 Jun, Kuala Terengganu (21 Jun) dan Marang (2 Julai).

Sementara itu beberapa penternak yang ditemui melahirkan kebimbangan mereka susulan penyakit tersebut yang mula menular ke Dungun.

Seorang penternak, Md Arif Hasan, 30, berkata, beliau kerugian lebih RM50,000 apabila 18 lembu ternakannya mati secara mengejut baru-baru ini.

“Saya ingatkan kematian biasa tetapi apabila semakin banyak yang mati, saya mula mengesyaki ia berpunca daripada penyakit ini.

“Ini kali pertama saya mengalami kerugian yang begitu besar kerana sebelum ini hanya 8 lembu yang mati akibat penyakit kuku dan mulut,” katanya, dan berterima kasih kepada JPV kerana bertindak pantas terhadap aduan penternak di kampung itu.

Seorang lagi penternak, Mohd Zawawi Ishak, 37, berkata 6 daripada 25 ekor lembu yang dipeliharanya mati akibat penyakit itu sejak beberapa hari lalu.

“Saya harap sangat penyakit ini dapat dikawal sepenuhnya kerana tidak mahu menanggung kerugian yang lebih besar akibat kematian haiwan ternakan.

“Terima kasih juga kepada JPV kerana telah memberi nasihat dan bimbingan kepada kami tentang prosedur operasi standard yang perlu kami ambil untuk berdepan dengan situasi wabak ini,” katanya.