Jururawat terkejut kereta dipasang bom buatan sendiri

drive-bomb

PETALING JAYA: Seorang jururawat terkejut menemui bom buatan sendiri yang dipasang di bahagian bawah keretanya di Kapar, Klang awal pagi ini.

Jururawat berumur 27 tahun itu memberitahu polis, dia mendengar bunyi bip secara berterusan semasa memandu kira-kira pukul 10 malam tadi.

Ketika tiba di rumah, dia memberitahu pak ciknya agar memeriksa kereta dan dia menemui objek yang tidak dikenali yang dipasang pada bahagian bumper belakang kereta, lapor New Straits Times hari ini.

Sebuah pasukan dari Unit Pemusnah Bom polis dihantar ke rumah wanita selepas mereka menerima maklumat mengenai perkara itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat berkata pasukan itu mengesahkan ia adalah peranti letupan (IED) selepas menjalankan pemeriksaan menyeluruh.

“Pakar bom yang memeriksa benda itu, yang kira-kira saiz botol air mineral kecil, mengesahkan ia mempunyai ciri-ciri IED, termasuk suis dan bahan letupan,” kata Fadzil.

Beliau menambah, objek itu dimusnahkan kira-kira 2.30 pagi.

Fadzil berkata mengikut kenyataan jururawat, dia mendengar bunyi bip ketika memandu pulang selepas selesai kerja.

“Apabila tiba di rumahnya, dia dan pak ciknya mula mencari punca bunyi sebelum menemui objek itu,” katanya.

Fadzil berkata polis sedang menyiasat pihak yang memasang bom itu serta motif di sebalik kejadian itu.

Beliau berkata kes itu diklasifikasikan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana intimidasi jenayah dan Akta Letupan 1957.