Larangan keluar negara tidak sesuai di zaman sekarang, kata peguam

Mohamed-Haniff-Khatri-larangan-keluar-negaraPETALING JAYA: Keputusan ketua pengarah imigresen melarang Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua meninggalkan Malaysia tanpa sebab mesti diperiksa di mahkamah, kata peguam.

Beliau menambah keputusan Mahkamah Rayuan yang kebebasan untuk bergerak suatu keistimewaan yang diberikan kerajaan kepada warganegara yang memegang dokumen perjalanan yang sah tidak sesuai di “zaman sekarang”.

Mereka tidak berpuas hati dengan tafsiran literal “tiada seorang pun boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya”, mengatakan tidak masuk akal jika ia hanya terpakai dalam kes tangkapan dan penahanan yang menyalahi undang-undang.

Peguam Ranjit Singh berkata keputusan itu menghantar mesej jelas tetapi salah yang rakyat di bawah belas kasihan kerajaan apabila keluar negara.

“Kebebasan diri saya termasuk hak kebebasan untuk bergerak. Bukan kerajaan yang menentukan sama ada saya boleh tinggalkan negara ini atau tidak,” katanya.

Beliau berkata dunia kini umpama “desa sejagat”, dan orang berhijrah mencari pendapatan yang lebih baik, mecari ilmu dan bertemu sahabat dan ahli keluarga di tempat lain.

Ranjit mengulas keputusan Hakim Tan Sri Idrus Harun pada Rabu yang kerajaan mempunyai budi bicara mutlak untuk memutuskan sama ada seorang warganegara itu berhak ke luar negara.

Idrus berkata fasal penyingkiran dalam Akta Imigresen juga menghalang mahkamah menyiasat keputusan yang dibuat ketua pengarah.

Hakim berkata Tony tidak berhak untuk didengari, dan ketua pengarah tidak berkewajipan untuk memberi sebab menghalang seorang ahli politik daripada keluar negara.

Idrus menambah paspot merupakan harta kerajaan dan boleh ditarik balik bila-bila masa.

Peguam Bastian Pius Vendargon berkata ini adalah kes yang patut dan wajar bagi Mahkamah Persekutuan untuk tentukan sama ada ketua pengarah boleh dilindungi fasal penyingkiran itu sekiranya beliau didakwa sudah melakukan kesilapan.

“Prinsip undang-undang sudah ditetapkan oleh mahkamah yang fasal penyingkiran tidak lagi berkuat kuasa apabila pembuat keputusan melampaui bidang kuasanya,” katanya.

Sementara itu peguam R Kengadharan berkata sebarang keputusan pentadbiran perlu diperiksa mahkamah selaku penimbang tara antara kerajaan dan warga.

“Jika tidak, kerajaan boleh membuat keputusan sewenang-wenangnya yang akan mengancam kebebasan sivil rakyat,” katanya, dan menambah larangan keluar negara ke atas Tony salah kerana beliau bukan ancaman kepada keselamatan negara mahupun dunia.

Kengadharan berkata keputusan itu membuka laluan kepada kerajaan, termasuk pihak berkuasa agama, untuk mengawal selia hal ehwal dan gaya hidup golongan masyarakat tertentu.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata pentadbir kerajaan sepertimana hakim juga mesti memberikan sebab sesuatu keputusan.

“Mereka mesti dipertanggungjawabkan dan telus dalam tindakan mereka,” katanya.

Haniff berkata sudah tentu warganegara yang membayar fi untuk memperoleh pasport menjangkakan mereka berhak keluar negara, kecuali mereka mengancam negara, muflis atau elak membayar cukai.

Hanif berkata seruan Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh kepada Tony supaya membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan mendedahkan Mahkamah Rayuan membuat keputusan itu kerana terikat dengan keputusan mahkamah apex sebelum ini.

“Perkara ini adalah kes yang sesuai untuk mengkaji semula beberapa isu perlembagaan di mahkamah tertinggi,” tambahnya.

Tony membawa pihak berkuasa ke mahkamah selepas dihalang meninggalkan negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 pada 2 Julai 2015.

Larangan keluar negara itu kemudian dibatalkan tetapi Tony tetap meneruskan kes itu.