Lukisan kanak-kanak autisme bantu jana pendapatan

Robin-Chia-kanak-kanak-autismeKUALA LUMPUR: Contengan di atas kertas oleh kanak-kanak penghidap autisme mungkin dianggap hanya satu cara untuk golongan berkenaan meluahkan ekspresi diri dan bukanlah sesuatu yang mempunyai nilai.

Namun, bagi sekumpulan anak muda yang menjalankan perniagaan percetakan dikenali C&O Shirt Printing, mereka berpendapat “contengan” seperti itu merupakan hasil seni, malah berpotensi memberi manfaat kepada kanak-kanak berkenaan.

Pengasasnya Robin Chia, 28, berkata berinspirasi dari situ, beliau bersama 2 rakannya mengambil inisiatif mencetak hasil contengan kanak-kanak autisme di helaian kemeja-T dan menjualnya.

Chia tidak menyangka idea terbabit menarik perhatian ramai pembeli serta menyifatkan contengan itu sebagai karya seni unik dan memiliki identiti tersendiri.

“Hasilnya ratusan kemeja-T berjaya dijual secara dalam talian pada harga RM68 sehelai dengan 30% daripada keseluruhan hasil jualan telah kami salurkan kepada Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom).

“Kami berbangga usaha ini berhasil membantu persatuan dan pertubuhan yang menjaga kanak-kanak autisme mencari sumber pendapatan sampingan seterusnya mengelakkan kebergantungan kepada derma orang ramai untuk membiayai operasi mereka,” katanya kepada Bernama.

Menurut Chia, keuntungan diperoleh juga dibahagikan kepada para pereka grafik yang bertanggungjawab menyiapkan rekaan baju berkonsep “streetwear” itu.

“Secara tidak langsung, projek ini membuka ruang kepada pereka grafik muda untuk menonjolkan bakat dalam bidang rekaan dan cetakan selain menjadi sumber pendapatan sampingan mereka,” katanya.

Mengulas mengenai idea mengadakan projek yang bukan sahaja memberi keuntungan malah dapat membantu golongan memerlukan itu, Chia berkata ia berlaku secara spontan.

“Idea tercetus selepas membaca kisah isteri Perdana Menteri Singapura yang menggayakan beg tangan bercorak dinosaur rekaan kanak-kanak autisme ketika melawat bekas Presiden Amerika Syarikat Barack Obama dan isterinya di White House (pada Ogos tahun lepas).

“Beg itu mendapat perhatian dunia, mengambil inspirasi dari situ kami terus merancang projek ini dengan objektif membantu serta mengembangkan potensi kanak-kanak autisme di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata pihaknya turut mengajar kanak-kanak autisme di Nasom melukis dan menggunakan hasil seni mereka untuk dijadikan pakaian “streetwear”. Ini sekali gus dapat menggalakkan minat dan mengembangkan bakat seni yang ada di dalam diri kanak-kanak istimewa itu.

Dalam pada itu, Chia berharap usaha yang telah dilakukan dapat memberi lebih kesedaran kepada masyarakat terhadap keistimewaan golongan autisme.

“Projek ini akan diteruskan pada masa hadapan dan kami mempunyai perancangan untuk menghasilkan lebih banyak produk berasaskan seni kanak-kanak autisme,” katanya.

Orang ramai yang berminat untuk mendapatkan kemeja-T dengan cetakan lukisan kanak-kanak autisme boleh melayari laman Facebook dan Instagram C&O Shirt Printing menerusi carian @shirtprintingco.